Bonus setengah bulan gaji, BR1M naik kepada RM650

0

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1.4 juta penjawat awam akan menerima bonus seten­gah bulan gaji atau minimum RM500, demikian diumum­kan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi meringankan lagi beban golongan pesara, kerajaan juga akan memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250.

“Bayaran bonus dan ban­tuan khas kewangan ini akan dibayar pada awal Januari 2014,” katanya ketika mem­bentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat semalam.

Pada Ogos lepas, sebagai persiapan Hari Raya, Ba­yaran Bantuan Khas Ke­wangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing telah dibayar kepada penja­wat awam dan pesara.

Bayaran bantuan khas kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Sementara itu, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bu­jang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Perdana Menteri ber­kata sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

“Pemberian ini adalah ber­dasarkan kepada kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung oleh golongan berpendapatan sederhana rendah,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan mencadangkan caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Ma­laysia atau i-BR1M bernilai RM50 diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M bagi memberi perlindun­gan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima BR1M sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

“Pendek kata, secara keseluruhannya, penerima BR1M dari kalangan isi ru­mah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000 akan menikmati bantuan se­banyak RM700,” katanya.

Najib berkata bagi isi ru­mah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 yang menerima bantuan BR1M sebanyak RM450, juga akan meneri­ma caruman i-BR1M berni­lai RM50 yang menjadikan jumlah keseluruhan BR1M sebanyak RM500.

Bagi melaksanakan kes­emua pakej BR1M 2014 ini, kerajaan akan mem­peruntuk sejumlah RM4.6 bilion yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 7.9 juta penerima. — Bernama