‘Simanggang Supporter’ menyemarakkan semangat Ngap Sayot

0

SRI AMAN: Kira-kira 200 orang penyokong Sarawak menggelarkan diri mereka sebagai ‘Simanggang Support­er’ bersama dengan ribuan penyokong lain membanjiri Stadium Negeri Sarawak bagi memberikan sokongan kepada pasukan ‘Ngap Sayot’ menen­tang Pahang malam tadi.

Jurucakap Simanggang Supporter, Kamisita Wasli berkata walaupun perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia itu turut disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen tetapi mereka tetap bersama dengan kira-kira 20,000 penyokong lain mem­beri sokongan moral kepada pasukan Sarawak.

“Kehadiran kami bersama dengan lebih kurang 20,000 orang penyokong di Stadium Negeri sekurang-kurang­nya dapat memberi sokongan moral kepada pasukan kita di samping dapat meniupkan semangat untuk mara ke per­lawanan akhir.

“Kita juga yakin bahawa, pasukan negeri mampu me­langkah kaki ke perlawanan akhir dan membawa pulang Piala Malaysia ke negeri ini,” katanya pada sidang media sebelum melepaskan Kon­voi Supporter Simanggang, Penyokong Pasukan Sarawak melibatkan sebanyak 20 buah kenderaan di Taman Pano­rama Benak, Sri Aman awal pagi semalam.

Katanya, walaupun ramai penyokong tidak berkesem­patan menyertai konvoi itu disebabkan tidak berpel­uang membeli tiket namun penyokong-penyokong dari Sri Aman berpeluang menyak­sikan perlawanan berkenaan di rumah masing-masing.

Malah, beberapa agensi seperti Komuniti Belia Sri Aman bersama dan Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sri Aman dan Simanggang Benak Rid­ers Club (SBRC) menyedi­akan skrin besar perlawanan Sarawak-Pahang di Tebingan Batang Lupar, malam tadi.

“Tayangan tersebut memberi peluang kepada penyokong menyaksikan pasukan Sarawak menentang Pahang menerusi skin besar,” katanya.