Persidangan pertama Hari Tekno Rafale menarik minat komuniti saintifik Malaysia

0

KUALA LUMPUR: Rafale International, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Kumpulan Kerajaan-Industri Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) mengadakan edisi pertama persidangan Hari Tekno Rafale baru-baru ini yang dihadiri oleh kira-kira 300 peserta dari pelbagai universiti, industri dan institusi.

Persidangan Hari Tekno Rafale yang julung kalinya diadakan ini meliputi bidang yang luas mengenai kemajuan teknologi semasa berkaitan dengan autonomi dalam sistem penerbangan, dengan kes aplikasi khusus terhadap Pesawat Tanpa Juruterbang (UAV).

Pengarah Program Rafale Malaysia Daniel Fremont berkata, persidangan seperti Hari Tekno Rafale adalah kaedah tepat untuk berkongsi trend inovasi terkini dalam domain minat yang sangat tinggi bagi syarikat-syarikat mereka. Ia juga saluran yang tepat untuk membina dan meneguhkan rangkaian antara sektor perindustrian dan dunia akademik. Dua kertas kerja mewakili dua perspektif sokongan dibentangkan pada persidangan Hari Tekno Rafale.

Kertas kerja yang pertama dibentang oleh Pierre Helie yang merupakan Ketua Penganalis Operasi dan Konsep Definisi Aktiviti Sistem bagi sistem penerbangan masa depan di Dassault Aviation, menyorot mengenai cabaran yang dihadapi daripada segi kuasa operasi dan reka bentuk yang berkaitan pemindahan, sebahagian atau keseluruhan, kawalan terhadap pelbagai aktiviti daripada pengendali manusia kepada sistem bukan manusia.

Dalam kertas kerja kedua yang disampaikan oleh Gilles Coppin, Timbalan Pengarah unit makmal penyelidikan sekolah kejuruteraan Perancis, Telecom Bretagne, menyentuh mengenai cabaran teknologi dan saintifik berkaitan kawalan ke atas pelbagai sistem UAV, dengan aplikasi kukuh terhadap sekumpulan UAV.

Ceramah tersebut disusuli oleh pertukaran pendapat antara penceramah dengan para hadirin, mengetengahkan minat yang mendalam hasil daripada pembentangan tersebut.

Naib Canselor UPNM, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin berkata: “Kami sangat berbangga menganjurkan acara ini, bersama Rafale International dan MIGHT, yang telah menyediakan saluran terbaik untuk mengetahui tentang teknologi canggih yang dibangunkan di luar negara oleh peneraju-peneraju industri.

“Ini adalah seiring dengan aktiviti teras UPNM seperti domain keselamatan dan aeroangkasa ketenteraan. Persidangan ini juga peluang terbaik untuk mengukuhkan hubungan kami dengan syarikat-syarikat Rafale dan untuk bersama-sama membangunkan projek kerjasama pada masa depan yang berjaya”.

Timbalan Pengarah unit makmal penyelidikan Telecom Bretagne Gilles Coppin menambah, selain demonstrasi teknologi, persidangan ini juga kaedah terbaik untuk mempamerkan keupayaan pihaknya untuk bekerjasama rapat antara industri dan akademik dalam aspek prospektif dan topik berjangka panjang.

“Kami yakin bahawa ia juga berupaya, dengan sokongan Rafale International, membuka pintu bagi perkongsian masa depan, di peringkat akademik dan saintifik, antara universiti-universiti Malaysia dan institusi kami,” katanya.

Persidangan ini adalah edisi pertama dalam siri persidangan saintifik yang akan mengetengahkan pelbagai teknologi canggih yang berkaitan dengan aktiviti syarikat-syarikat Rafale. Ia menandakan satu lagi langkah komitmen Rafale kepada Malaysia dan untuk pembangunan rangkaian kecemerlangan saintifik Malaysia, dengan menyerlahkan pembabitan kuat Rafale dalam pembinaan kapasiti teknologi dan pembangunan modal insan di Malaysia.Sesi persidangan seumpamanya akan diadakan di Pulau Pinang pada 31 Oktober 2013.