KUCHING: Penyerang sensasi, Bobby Gonzales, 29, dikhabarkan akan meninggalkan Sarawak pada musim depan bagi menyertai pasukan Liga Perdana Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut laporan, beliau dikatakan mendapat tawaran lebih lumayan daripada PDRM dalam usaha mereka mempertajam barisan serangan menghadapi saingan musim depan.
Laporan juga mengatakan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) terpaksa melepaskan penjaring terbanyak Sarawak itu jika tidak dapat menyamai gaji yang dibayar oleh PDRM.
Bobby sedang menyertai latihan bersama skuad kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain di Manama (15 November) dan Qatar di Kuala Lumpur (19 November).
J ika be l i au be r s e tuju menyertai PDRM, ia satu kehilangan besar buat Sarawak kerana Bobby merupakan seorang pemain yang berbakat dan mempunyai kemahiran tinggi.
Beliau mula menyertai Sarawak pada 2011 sebelum berhijrah ke tanah kelahirannya, Sabah pada 2012.
Pemain kelahiran Beaufort itu kembali ke pangkuan Sarawak pada tahun ini, di mana beliau membantu Sarawak muncul juara Liga Perdana dengan menjaringkan 29 gol.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Sarawak Robert Alberts berkata dua pemain Sarawak iaitu Azizan Saperi dan Mohd Dzulazlan Ibrahim akan menyertai pasukan Liga Perdana pada musim depan secara pinjaman.
Katanya, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada kedua-dua pemain itu mendapatkan semula rentak permainan setelah berehat panjang ekoran kecederaan yang mereka alami pada awal musim ini.
“Jika kita benarkan kedua-dua pemain itu beraksi pada Liga Super, ia akan melambatkan proses pemulihan mereka kerana kejohanan tersebut sangat kompetitif dan mencabar.
“Justeru, kita telah bersetuju untuk meminjamkan mereka kepada pasukan Liga Perdana dan berharap kedua-duanya dapat kembali semula ke pangkuan kita secepat yang mungkin,” katanya.