Hentikan sekatan sebelum tindakan diambil, kata Sabtu

0

 

KUCHING: Masyarakat yang terlibat dalam membuat sekatan di Ulu Baram, Miri dinasihatkan agar menghentikan tindakan itu serta-merta sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan pada bila-bila masa terhadap mereka yang terlibat jika keadaan tersebut berlarutan.

Justeru, beliau meminta kerjasama pihak berkaitan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) agar me­nasihati masyarakat yang terlibat serta mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Saya mohon agar hentikan sekatan-sekatan tersebut serta-merta kerana mereka boleh didakwa menghalang penjawat awam di mana mereka boleh ditahan pada bila-bila masa sahaja dan didakwa di mahkamah serta dipenjarakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Kon­tinjen Sarawak di Padang Kawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak semalam.

Sabtu berkata, masyarakat yang terlibat sepatutnya berbincang den­gan kerajaan negeri untuk menye­lesaikan kemelut terbabit.

“Kepada pihak-pihak tertentu, hentikan daripada terus menye­barkan serta memberi kesan-kesan negatif sehingga boleh mencetuskan keadaan di luar batasan.

“Datanglah ke meja rundingan kerana saya percaya kerajaan negeri sentiasa berbincang untuk mencari jalan yang terbaik, jangan jadikan keadaan bertambah huru-hara,” katanya.

Sabtu semasa perhimpunan bu­lanan tersebut turut menyampaikan Sijil Anugerah Pencapaian Cemer­lang 2012 dan Sijil Perhargaan kepada 66 pegawai serta anggota polis.