Jangan ambil mudah perpaduan

0

MAKLUMAT: Abdul Karim (dua kanan) mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif IIC Zabariah Matali (kanan) semasa melawat pameran yang diadakan sempena Forum Belia Soul2Soul 2.0 semalam. Turut kelihatan Mohd Ariff (dua kiri). — Gambar Chimon Upon

 

KUCHING: Generasi muda tidak harus mengambil mudah perpaduan serta kestabilan sedia ada di negeri ini yang telah sekian lama terpelihara.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebagai generasi yang akan memegang tampuk kepimpinan negeri dan negara, adalah amat penting bagi mereka memahami perpaduan masyarakat Sarawak.

“Sarawak telah dapat hidup dalam harmoni melalui perpaduan pelbagai kaumnya selain sikap toleransi dan mampu menerima kepercayaan masing-masing.

“Segala pembangunan serta perubahan yang kita nikmati kini juga adalah hasil kestabilan yang kita pelihara selama ini, dengan itu generasi muda tidak harus mengambil mudah perkara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Forum Belia Soul2Soul 2.0 ‘Tweeting-Up’ (Perpaduan Sosial melalui Media Sosial) anjuran Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) dengan kerjasama Pusat Penerangan Islam Sarawak (IIC) di Pusat Ekumenikal Kristian di sini, semalam.

Tambah Karim, hal-hal berkaitan agama termasuk baru-baru ini mengenai penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam majalah gereja Katolik, bukan isu bagi Sarawak.

“Bagi kita di sini, kita saling membantu antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan agama dan amalan toleransi telah menyebabkan Sarawak dapat terus membangun,” kata Menteri Muda Perumahan itu.

Sehubungan itu, beliau memuji forum yang dianjurkan oleh AZAM dan IIC itu kerana ia amat sebagai platform kepada belia pelbagai kaum membincangan isu semasa.

Malahan, forum berkenaan bagi menekankan isu berkaitan dengan penyalahgunaan media sosial kepada orang awam, kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia 2012/2014 AZAM Mohd Ariff Irwani Azahari dalam ucapannya berkata, Soul2Soul adalah aktiviti yang mula diadakan pada tahun 2012.

Menurut beliau, ia dalah bertujuan untuk menyediakan landasan kepada para belia membincangkang isu-isu semasa sementara memupuk kesedaran dalam nilai-nilai sejagat, etika dan agama dalam asas kehidupan.

“Soul2Soul 1.0 telah diadakan sempena dengan bulan Ramadan pada tahun 2012 yang memberi tumpuan kepada nilai-nilai sejagat puasa dan telah dianjurkan di IIC.

“Tujuan utama inisiatif ini adalah untuk meningkatkkan perpaduan dan mewujudkan keharmonian bersama terutama di kalangan belia di negeri ini,” katanya.

Forum Soul2Soul2 semalam bertujuan untuk menyediakan landasan kepada belia tempatan berbincang dengan barisan ahli-ahli panel yang profesional mengenai isu semasa pengguna media sosial.

Penceramah forum belia tersebut termasuk Datin Paduka Marina Mahathir, iaitu kolumnis akhbar terkenal, penulis dan juga penerbit rancangan TV.

Selain Marina, antara panel lain Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan 1Malaysia Rafly Nann wakil Perkhidmatan Maklumat Islam Shah Kirit Kakulal Govindji dan Lee Martinian dari Kolej St Peter Kuching.