IGMS guna media sosial daftar lebih ramai ahli

0

KUCHING: Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) akan menggunakan media sosial untuk mendaftarkan lebih ramai ahli, kata Yang Dipertuanya Datu Sanib Said.

Beliau berkata, pada masa sekarang IGMS mempunyai kira-kira 2,000 ahli berdaftar yang berada di seluruh negara dan luar negara.

“Media sosial seperti Facebook akan digunakan untuk merekrut ahli baharu termasuk yang berada di luar Sarawak.

“Penambahan lebih ramai ahli penting untuk memastikan kita dapat melaksanakan banyak program membantu masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas penutupan Program Pendidikan ‘Build Yourself’ Sekolah Rendah Parlimen Petra Jaya semalam.

Dengan adanya ahli yang ramai, menurutnya, mudah untuk IGMS melaksanakan program berbentuk pendidikan dan membantu orang miskin di luar bandar.

“Kita memang banyak jalankan program berbentuk pendidikan dan bantuan orang miskin,” ujarnya.

Mengenai Program Pendidikan ‘Build Yourself,’ tambahnya, ia diadakan untuk memupuk kemahiran interpersonal dalam kemahiran komunikasi bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah rendah.

“Program ini juga dapat memupuk keyakinan diri peserta menggunakan bahasa Inggeris dalam kegunaan harian mereka,” jelasnya sambil menambah program itu julung kali diadakan.

Sebanyak 15 buah sekolah rendah di seluruh Parlimen Petra Jaya menyertai program tersebut dengan melibatkan 60 peserta.