Kemahiran berkomunikasi penting selain akademik

0

KEMAHIRAN KOMUNIKASI PENTING: Fazzrudin (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil peserta pada Perhimpunan Belia Bersama MPP 2013 di Jalan Matang semalam. Turut kelihatan Dr Zaidie (dua kiri) dan Lo (dua kanan).

Ia penting bagi para belia menghadapi cabaran merebut peluang pekerjaan pada masa akan datang

KUCHING: Kemahiran berkomunikasi merupakan aspek penting bagi para belia menghadapi cabaran merebut peluang pekerjaan pada masa akan datang.

Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya Fazruddin Abdul Rahman berkata, selain kelayakan akademik, kemahiran berkomunikasi akan memberi kelebihan kepada individu dan menjadi penentu kepada kejayaan dalam kehidupannya.

“Para belia harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran teknikal serta komunikasi bagi memberi kelebihan kepada mereka ketika merebut peluang pekerjaan yang semakin mencabar pada masa akan datang,” ujar Fazzrudin ketika menghadiri Perhimpunan Belia Bersama MPP 2013 di sebuah pusat rekreasi di Jalan Matang semalam.

Seramai 150 peserta menghadiri perhimpunan tersebut yang turut dihadiri Pengerusi MPP Lo Khere Chiang dan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Belia dan Sukan MPP Dr Zaidie Suhaili.

Fazzrudin yang mewakili Datuk Fadillah Yusof turut memberitahu bahawa program perhimpunan tersebut amat penting bagi membentuk sahsiah belia dalam usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

“Kerajaan mahu menarik pelaburan besar dari luar negara bagi mewujudkan peluang pekerjaan, perniagaan dan pendidikan agar golongan belia sentiasa terjaga dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Kerajaan hanya mampu menyediakan prasarana dan latihan kepada para belia dan terpulang kepada mereka untuk mengambil peluang melengkapkan diri bagi merebut kekosongan pekerjaan seperti di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sebagai contoh,” jelas Fazzrudin.

Sementara itu, Dr Zaidie memberitahu bahawa perhimpunan tersebut merupakan permulaan siri aktiviti anjuran MPP bagi mendekati masyarakat khususnya golongan belia untuk mewujudkan komuniti yang saling membantu dan berhubung antara satu sama lain.

“MPP ingin menjadikan kawasannya sebagai mesra dan selesa untuk penduduknya menjalani kehidupan seharian untuk masa depan yang cerah.

“Kami juga mahu penduduk yang tinggal di kawasan Padawan memiliki nilai tambah selain mempunyai aset rumah iaitu dengan memiliki kejiranan yang harmoni, saling membantu dan berhubung antara satu sama lain,” jelas Dr Zaidie.