Masyarakat Islam perlu kuasai bahasa Arab, kata Rais

0

TAHNIAH: Rais (dua kiri) menyampaikan piala kepada juara Kumpulan UIAM (A) yang menjadi juara dalam kategori Arab sebagai bahasa kedua pada Pertandingan Akhir Debat Maal Hijrah Bahasa Arab di Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Masya-rakat Islam di negara ini disarankan menguasai bahasa Arab dengan baik kerana bahasa itu berpotensi untuk dijadikan lingua franca bagi menyatukan negara-negara Islam di dunia.

Penasihat Kerajaan bagi Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata hubungan negara Islam boleh dieratkan menerusi bahasa Arab, seperti mana bahasa Melayu mengeratkan hubungan Malaysia-Indonesia manakala bahasa Inggeris di negara Barat.

“Bahasa Arab juga dituturkan oleh lebih 300 juta penduduk dunia dan merupakan salah satu bahasa yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Negara Islam kena meng-ambil iktibar supaya kita bersatu untuk berfikir apa yang terbaik kerana kita ada 1.68 bilion ummah tetapi banyak yang berpecah,” katanya kepada pemberita selepas menutup Pertandingan Debat Maal Hijrah Bahasa Arab 1435H/2013M di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini semalam.

Rais, yang juga Presiden UIAM, berkata universiti itu juga akan mengambil beberapa inisiatif untuk memperkasakan bahasa itu dalam kalangan golongan muda, selain mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris.

Pada pertandingan itu, remaja Singapura Mohd Redha Mohd Elyas, 22, yang mewakili kumpulan UIAM (A) bagi kategori bahasa Arab sebagai bahasa kedua dipilih sebagai pendebat terbaik.

Beliau yang menuntut dalam jurusan Al-Quran dan Sunnah di UIAM menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah kepada ibunya Noor Aishah Ahmad yang banyak memberi galakan kepadanya untuk mempelajari bahasa Arab.

“Emak juga menghantar saya untuk belajar bahasa Arab di Madrasah Al-Junied Al-Islamiyah di Victoria Lane, Singapura sejak saya berusia tujuh tahun,” katanya yang turut fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

Sementara itu, penuntut Sarjana bahasa Arab, Nur Huda Ramli, 25, berkata beliau berminat mempelajari bahasa itu selepas menyedari banyak peluang boleh diper-olehi jika boleh menguasai bahasa Al-Quran tersebut.

“Mereka yang fasih bahasa Arab mempunyai kelebihan jika mahu terlibat dalam bidang penyiaran atau terjemahan, selain bidang lain seperti perubatan,” katanya.

Pertandingan yang julung kali dianjurkan itu disertai 80 peserta daripada 12 institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Empat kumpulan daripada UIAM menyapu bersih tempat pertama dan kedua bagi dua kategori yang dipertan-dingkan iaitu Kategori Terbuka dan Kategori Bahasa Arab sebagai bahasa kedua yang menawarkan hadiah trofi dan wang tunai RM3,000 dan RM1,500. — Bernama