Pelbagai ceramah sempena Maal Hijrah di Bintulu

0

BINTULU: Penduduk Islam di sini memenuhi ruang Dewan Bangunan Martabat dengan mendengar ceramah disampaikan oleh Ustaz Haslin Baharin atau lebih dikenali Ustaz Haslin Bollywood berikutan ceramahnya yang sering menyelit petikan lagu-lagu Bollywood dan lagu Melayu serta menyelitkan cerita lucu.

Di samping itu, dua selebriti turut menjayakan ceramah berbentuk Forum Bicara Selebriti Hijrah yang mengupas tajuk’Adaptasi Ruh Hijrah Nabi SAW’ ialah Sham Kamikaze dan penyanyi yang lahir daripada program realiti Akademi Fantasia, Heliza atau Nur Heliza Helmi.

Menerusi ceramah yang bermula pada jam 8 malam itu, Haslin mendendangkan lagu-lagu popular masa kini, antaranya daripada kumpulan Search dengan menyelitkan lirik berunsur nasihat dalam Islam sambil diiringi oleh petikan gitar Sham Kamikaze.

Begitu juga Heliza turut menyampaikan ceramah mengenai kerja-kerja amal dan pengalamannya melihat kesengsaraan umat Islam semasa berada di Gaza.

Beliau turut mendendangkan lagu popular generasi kini dengan menyelitkannya dengan unsur Islam secara santai pada malam itu.

Ceramah Sham pula mengupas kisah penghijrahan hidupnya daripada seorang pemuzik terkenal satu ketika dahulu kepada keadaannya pada masa sekarang.

Forum berkenaan adalah anjuran Jawatankuasa Surau Al-Falah ASEAN Bintulu Fertilizer Sdn Bhd (JASA ABF), Jawatankuasa Kebajikan Islam MLNG, Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Syawal Engineering & Sevices Sdn Bhd.

Dalam pada itu, program sempena sambutan Maal Hijrah 1435H bertemakan Aura Hijrah Nabi SAW anjuran tiga badan Islam itu turut menyenaraikan program lain yang dihadiri oleh tiga penceramah itu termasuk beberapa penceramah lain, antaranya Kuliah Subuh disampaikan oleh Ustaz Ali Fathullah Harun di Surau Darussalam Kampung Baru semalam.

Ia diikuti program Bicara Muslimah pada jam 9.30 pagi semalam melibatkan tiga penceramah iaitu Heliza, Ustazah Rogayah dan

Ustazah Maslina, Kuliah Dhuha oleh Haslin di Masjid Tatau jam 9.30 pagi dan malamnya Haslin dan Sham menjadi ahli panel forum agama di Masjid As-Syakirin.

Pada Ahad (hari ini), Ustaz Mukarrom menyampai Kuliah Subuh di Masjid Darul Hidayah manakala Haslin, Sham dan Wan Lukmanhakim menjayakan program Santai Selebriti pada jam 8 pagi di pekarangan Masjid Mustaqim Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Kidurong.