Pembalak haram bermaharajalela di tiga kawasan di Serian

0

KUCHING: Meskipun lebih 13 laporan polis dibuat oleh penduduk di kawasan Tanah Mawang, Karangan dan Menyang di daerah Serian berhubung aktiviti pencerobohan di kawasan itu, namun tiada tindakan yang diambil oleh pihak bertanggungjawab bagi mengatasinya.

Laporan polis itu turut merangkumi laporan atas tindakan kekerasan penceroboh terhadap penduduk tempatan dan syarikat perladangan di kawasan yang terjejas.

Menurut jurucakap penduduk yang terjejas, penceroboh turut didakwa menggunakan khidmat gengster untuk mengancam dan menakut- nakutkan penduduk sekiranya mengganggu aktiviti pembalakan haram mereka.

“Beberapa orang penduduk cedera akibat dibelasah oleh gengster yang diupah dan mereka juga menyerang syarikat perladangan selain merosakkan pintu masuk ke ladang dan kenderaan syarikat tersebut.

“Malah, mereka juga mempunyai senapang untuk menakutkan kami dan pernah sekali mereka melepaskan tembakan,” kata jurucakap penduduk terjejas ketika ditemui di sini semalam.

Beliau memberitahu terdapat lapan kampung terjejas akibat aktiviti haram itu dan ia turut menyebabkan pencemaran sumber air di kawasan terbabit.

“Penduduk mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih kerana kawasan terjejas itu adalah kawasan tadahan air yang telah diwartakan sebagai kawasan tadahan dan empangan sistem bekalan air paip graviti oleh kerajaan negeri,” tambahnya.

Selain itu, katanya kesemua ketua kampung di kawasan itu juga telah menyerahkan surat permohonan memberhentikan menggunakan jalan kampung kepada Jabatan Kerja Raya Daerah Serian untuk membantah lori kayu balak menggunakan jalan tersebut.

“Terdapat beberapa kawasan di sepanjang jalan kampung rosak akibat aktiviti haram ini dan dalam keadaan ini kami penduduk terjejas hidup dalam ketakutan setiap hari kerana bimbang akan keselamatan dan nyawa kami.

“Kami amat berharap bantuan segera dapat disalurkan daripada pihak berkuasa dan kerajaan negeri dalam menyelesaikan kemelut kami ini,” ujarnya.