Juruteknik bangunan maut dalam kemalangan motosikal

0

KOTA MARUDU: Hasrat seorang juruteknik bangunan untuk pulang bercuti ke rumah adiknya berakhir tragedi setelah maut dalam kemalangan berhampiran Kampung Mempakad, Jalan Kota Marudu-Pitas kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Joseph Sipain, 37, difahamkan meninggal dunia di Hospital Pitas setelah dikejarkan ke situ berikutan kecederaan parah di bahagian kepala.

Terdahulu, dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 11 pagi itu, mangsa yang bertugas sebagai juruteknik bangunan di Kota Kinabalu dikatakan sedang dalam perjalanan untuk pulang bercuti ke rumah adiknya yang terletak di Estet Hibumas Paitan, Beluran dengan menunggang motosikal secara bersendirian.

Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa telah berlanggar dengan sebuah lagi motosikal di hadapannya yang sedang membelok menuju ke ladang kelapa sawit di situ.

Impak daripada pelanggaran itu, mangsa dipercayai tercampak beberapa meter di atas jalan dan mengalami kecederaan serius di bahagian kepala sebelum dikejarkan ke hospital berdekatan oleh orang awam yang secara kebetulan berada di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superitendan Mohd Isa Yusof mengesahkan kejadian itu dan salah seorang lagi penunggang motosikal turut mengalami kecederaan dalam kemalangan berkenaan.

“Seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 31 tahun yang terlibat dalam kemalangan motosikal itu turut mengalami kecederaan di bahagian kepalanya dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth (HQE),” katanya.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.