Peniaga di Pasar Tamu Kedayan tidak akan dipindahkan

0

DENGAR RINTIHAN: Ahmad Lai (duduk, tengah) ketika mendengar rintihan dan permasalahan para peniaga di bangunan SEDC Pusat Komersil Centre Point ketika perjumpaan beberapa hari lalu.

MIRI: Peniaga di Pasar Tamu Kedayan di Pusat Komersil Centre Point Miri tidak akan dipindahkan ke mana-mana kawasan baharu buat masa terdekat ini.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, mereka boleh berniaga di kawasan dimaksudkan secara berterusan.

“Mereka (peniaga) akan terus berniaga di sana kerana tiada sebarang pelan untuk mereka berpindah,” katanya kepada Utusan Borneo ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, beliau telah diberi penerangan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) bahawa bangunan tersebut adalah di bawah selenggaraan pihaknya dan tiada perancangan untuk memindahkan para peniaga.

Bagaimanapun, Ahmad Lai memberitahu bahawa hanya peniaga yang berkaitan dengan bangunan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) sahaja terlibat dengan perpindahan.

“Itupun untuk peniaga di bangunan blok C (dua tingkat) sahaja dahulu, manakala selebihnya blok A dan B belum lagi,” jelasnya.

Ini kerana beliau telah difahamkan oleh pihak SEDC bahawa kerja-kerja meroboh hanya akan dilakukan pada blok C terlebih dahulu dan diikuti blok-blok selebihnya.

Sementara itu, Pengerusi Penyewa Kedai SEDC Miri Kaunselor Abdul Razak Joni berkata beliau berterima kasih kepada Ahmad Lai kerana menyelami hati peniaga Bumiputera.

“Beliau (Ahmad Lai) memahami dan menyelami hati rakyat serta tahu akan masalah peniaga seperti kami,” ujarnya.

Razak turut berterima kasih kepada Ahmad Lai kerana berusaha berjumpa serta bermesyuarat dan berunding dengan pihak-pihak berkaitan tentang permasalahan peniaga di bangunan terlibat.

Beberapa hari lepas, Ahmad Lai telah berjumpa dengan para peniaga berkaitan untuk bertanyakan permasalahan yang dihadapi mereka.