Penunggang motosikal maut dalam kemalangan jalan raya

0

KENINGAU: Seorang penunggang motosikal maut apabila bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan jalan raya yang berlaku di Kilometer 5 Jalan Keningau-Bariawa di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Robert Salisip @ David berkata mangsa yang dikenali Hasan Mir-Hasan Khan, 60, berasal dari Kampung Masjid di sini mati di tempat kejadian pada jam 5.30 petang.

“Kereta yang dipandu oleh seorang wanita berumur 35 tahun bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Keningau sementara motosikal yang ditunggang oleh mangsa bergerak dari pekan Keningau menuju ke Kampung Bariawa,” katanya.

Beliau memberitahu siasatan awal polis mendapati kereta itu dipandu oleh wanita itu melalui Jalan Bariawa dari Kota Kinabalu dan sewaktu tiba di tempat kejadian kereta itu dipercayai masuk ke lorong kanan lalu bertembung dengan motosikal yang datang dari arah hadapan.

Robert berkata pada kejadian itu, motosikal diseret ke kiri jalan dan mangsa terjatuh di atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Keadaan tempat kejadian adalah jalan lurus, permukaan jalan kering dan cuaca baik. Tidak ada saksi bebas yang melihat kejadian itu. Mangsa dibawa ke hospital daerah untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.