56 saman, 23 notis dikeluarkan sempena Ops Khas Motosikal

0

LAHAD DATU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Daerah mengeluarkan 56 saman atas pelbagai kesalahan terhadap pengguna jalan raya menerusi Ops Khas Motosikal di sini, kelmarin.

Ketua Cawangan JPJ Daerah, Lasila Labua berkata operasi yang bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari itu diadakan di kawasan laluan tumpuan yang melibatkan 17 petugas yang diketuai Penolong Penguatkuasa Kanan, Azid Mintek.

“Hasil operasi, jumlah saman JPJ (P22) yang dikeluarkan berjumlah 56 keping melibatkan 17 kesalahan pengguna motosikal, kenderaan persendirian (38) dan bas (1),” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi di sini, kelmarin.

Menurutnya Ops Khas Motosikal ini akan diadakan berterusan bagi memberi kesedaran kepada pengguna khususnya penunggang motosikal agar mematuhi peraturan.

“Matlamat kita adalah mahu pengguna jalan raya mengikuti peraturan walaupun tanpa penguatkuasaan kerana pemandu yang berhemah akan dapat mengelakkan resiko kecelakaan di jalan raya,” katanya.

Dalam operasi itu juga, sebanyak 23 notis dikeluarkan untuk kesalahan JPJ (P23) sebanyak satu keping notis, PG1 (1) dan notis arah periksa kenderaan (21) manakala tiga buah motosikal ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, berdasarkan statistik operasi motosikal Januari hingga September 2013, sebanyak 908 saman dikeluarkan dengan jumlah kenderaan yang diperiksa 3,441 buah di tiga lokasi iaitu di pejabat JPJ Daerah, Segama dan Silam.