Empat lelaki asing ditangkap dalam Ops Khas

0

Polis melakukan pemeriksaan ke atas motosikal yang disyaki dicuri.

LAHAD DATU: Seramai empat lelaki warga asing di tahan dalam Ops Khas bersepadu yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Daerah Lahad Datu, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitendan Shamsudin Mat ketika di temui berkata keempat-empat lelaki terbabit ditahan semasa pihaknya melakukan sekatan jalan raya menerusi Ops Khas bersepadu yang dilancarkan bermula semalam sehingga akhir tahun ini.

“Kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun itu ditangkap selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diminta berbuat demikian ketika pihak kita melaksanakan sekatan jalan raya,” katanya.

Katanya polis turut menyita dua buah motosikal yang disyaki sebagai kenderaan curi serta mengeluarkan sebanyak 19 keping saman ke atas pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalulintas yang dikesan.

Menurut Shamsudin, Ops Khas Bersepadu itu bertujuan untuk mencegah dan membendung kejadian-kejadian jenayah yang boleh dicegah seperti jenayah yang melibatkan harta benda.

“Sekiranya kita lihat penurunan jenayah bagi daerah ini, sehingga kelmarin ianya berada pada paras 15 peratus. Sejak dua tiga bulan lepas paras itu terus menunjukkan penurunan dari 21 peratus,” katanya sambil berharap trend itu juga akan berterusan sehingga hujung tahun ini.

Oleh itu katanya, menerusi ops khas ini pihaknya akan lebih tertumpu kepada jenayah harta benda yang berkaitan dengan kegiatan curi, pecah rumah siang dan malam hari serta curi motosikal.

“Perkara-perkara seperti ini boleh dicegah dengan kehadiran anggota polis di lokasi-lokasi yang kerap berlaku jenayah. Oleh itu pihak polis menerusi ops khas telah mengambil pendekatan untuk memberi tumpuan di tiga lokasi yang kerap berlakunya jenayah di daerah ini.

“Antara lokasi yang dikenal pasti adalah di kawasan perumahan sekitar Taman Aman, Taman Fajar dan Taman Warisan. Kawasan-kawasan itu akan diberikan pemantauan rapi yang mana di setiap satu lokasi itu, kita akan menempatkan sekurang-kurangnya 22 orang terdiri daripada pegawai dan anggota polis yang turut dibantu oleh Sukarelawan Polis dan Jabatan Pertahanan Awam,” katanya.

Shamsudin berkata apabila berada di kawasan lapangan itu, pegawai dan anggota bertugas bukan sekadar melaksanakan sekatan jalan raya semata-mata malah mereka juga akan turut melakukan rondaan bersama kereta, motosikal dan berjalan kaki.

“Ini bagi memastikan agar masyarakat di daerah ini tidak lagi menjadi mangsa kepada penjenayah,” katanya.