Laporan awam selamatkan pelbagai kemungkinan

0

Pandangan sisi dekat wayar yang hangus.

LAHAD DATU: Laporan orang awam terhadap wayar elektrik yang tiba-tiba berasap dan kabelnya mencair berdekatan sebuah sekolah rendah di sini kelmarin menyelamatkan pelbagai kemungkinan buruk dari berlaku di kawasan itu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi di salah satu tiang elektrik di jalan simpang menuju Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Siew Ching itu disedari seorang pemandu yang melalui kawasan berkenaan.

“Saya melihat kabel itu mengeluarkan cahaya lalu berasap. Saya berhenti di tepi jalan lalu terus menelefon SESB,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

Menyedari keadaan itu berbahaya, dia turut memberi amaran kepada pejalan kaki yang hendak melalui kawasan berdekatan tiang itu.

Pekerja teknikal SESB yang tiba di tempat kejadian telah membaiki keadaan itu dengan segera meskipun ada gangguan elektrik ketika membaikinya.

Chu Shen, seorang pengguna yang tinggal di taman berdekatan tempat kejadian, berkata kejadian itu bukan pertama kali berlaku dan ianya dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti mencuri bekalan elektrik di kawasan perumahan setinggan berdekatan.

“Saya berharap kejadian ini disedari pihak yang berkenaan kerana ini bukan pertama kali berlaku,” katanya ketika ditemui.