PDRM terus pertingkat keselamatan dengan kerjasama erat POLRI

0

HAMZA (kiri) menyerahkan replika sumbangan kepada Dicky (kanan) bersempena Mesyuarat Timbal Balas Kesebelas antara Kontinjen PDRM Sabah dan POLRI Polda Kaltim di Hyatt Regency kelmarin.

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah terus menerima impak positif berikutan kerjasama jangka panjang daripada rakan sejawatnya, Polis Republik Indonesia (POLRI) Polis Daerah (Polda) Kalimantan Timur (Kaltim) dalam memperkasakan tahap keselamatan antara kedua-dua negara.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata dengan adanya kerjasama berkenaan, ia secara tidak langsung memperhebat lagi usaha kedua pasukan keselamatan itu bagi menangani jenayah membabitkan negeri ini dan negara jiran itu.

Sebagai contoh, pihak PDRM dan PRI Polda Kaltim turut memperhebat tahap keselamatan antara kedua-dua negara menerusi rancangan rondaan bersama di perairan Pulau Sebatik, Tawau yang selewat-lewatnya dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Selain rancangan itu (Pulau Sebatik), kerjasama bersama PRI Polda Kaltim ini sebenarnya telah banyak membuahkan hasil seperti tangkapan suspek yang melakukan jenayah di Sabah dan kemudiannya melarikan diri ke negara jiran (Indonesia).

“Selain itu juga, kita secara tidak langsung akan memaklumkan kepada mereka sekiranya terdapat suspek jenayah dari negara Indonesia berada di Sabah dan langkah ini akan diteruskan dari masa semasa dalam mempertingkat prestasi kedua-dua pasukan bagi menangani kadar jenayah,” katanya.

Beliau berkata kerjasama jitu itu turut menyaksikan perkongsian beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk kawalan darat dan laut serta jaringan komunikasi antara kedua-dua pasukan keselamatan.

“Kita juga tidak menolak akan berkongsi aset sama ada di darat atau laut dalam memastikan jenayah dapat dibendung menerusi kerjasama erat ini,” katanya.

Hamza berkata demikian selepas Mesyuarat Timbal Balas Kesebelas antara Kontinjen PDRM Sabah dan POLRI Kaltim bersempena Lawatan Bhayangkari di Hyatt Regency di sini kelmarin.

Hadir sama, Kepala Kepolisian POLRI Polda Kaltim, Irjen Polisi Drs Dicky Atotoy bersama rombongan seramai 32 POLRI dan Bhayangkari dalam mesyuarat yang diadakan saban tahun itu.

Dalam pada itu, setakat Januari hingga Oktober ini, Hamza berkata jumlah tangkapan suspek warga Indonesia yang melakukan jenayah di negeri Sabah telah berkurangan kira-kira 10 peratus iaitu seramai 176 orang berbanding tahun lepas.

“Untuk rekod, statistik tangkapan suspek melakukan jenayah pada tempoh Jan-Oktober di Sabah adalah seramai 2,115 orang dan 176 daripadanya adalah warga Indonesia.

“Berbanding pada tahun sebelumnya iaitu 1,880 tangkapan dengan seramai 120 orang warga Indonesia yang menunjukkan kadar penurunan 10 peratus jika dilihat berdasarkan jumlah keseluruhan tangkapan dan kejayaan itu adalah terhasil daripada kerjasama antara PDRM dan PRI Polda Kaltim sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Dicky turut merakamkan penghargaan kepada Kontinjen Sabah dalam usaha sama mempertingkatkan kawalan keselamatan antara kedua negara jiran.

“PRI Kaltim dengan secara kerap juga telah melakukan rondaan bersama polis marin Sabah termasuklah di beberapa laluan ‘tikus’ berhampiran perairan kedua-dua negara.

“Kerjasama ini dilihat berterusan dari masa ke semasa dengan bantuan PDRM termasuklah usaha menangkap suspek jenayah dari Indonesia yang masuk ke Sabah dan juga sebaliknya,” katanya.