Pelihara etika dalam penulisan

0

KOTA KINABALU: Media di Sabah terus diangkat sebagai pemangkin peranan dan medium utama perkhidmatan Jabatan Diraja Kastam Malaysia (JKDM) bagi meneruskan agenda telus jabatan itu kepada rakyat.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata secara tidak langsung juga, media dilihat memainkan peranan penting bagi memastikan peranan JKDM dalam pembangunan ekonomi dan pemeliharan keselamatan rakyat di negeri ini.

“Kita sedar bahawa selama ini pihak media telah memainkan peranan amat penting dalam penyebaran maklumat.

“Bagi konteks kastam sendiri, penyebaran sesuatu maklumat mengenai peranan jabatan berhubung pelbagai isu termasuklah pungutan hasil, tangkapan dan sebagainya telah disumbangkan oleh pihak pengamal media di negeri ini,” katanya.

Berucap pada majlis sama, Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur turut memuji prestasi JKDM Sabah atas kejayaan pungutan Cukai Tidak Langsung Negara dengan kutipan sebanyak RM820 juta pada tahun lepas di negeri ini.

“Ia merupakan kutipan tertinggi yang dicapai oleh jabatan ini dan sehubungan itu saya berpendapat kastam adalah agensi kerajaan yang berfungsi dalam pembangunan ekonomi dan juga keselamatan rakyat negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Malam Apresiasi JKDM Sabah Bersama Media 2013 dan pelancaran majalah Legasi Kastam di Wisma Kastam di sini pada Rabu.

Pengarah JKDM Negeri, Dato’ Janathan Kandok berkata pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada usaha Kerajaan Negeri menyediakan tapak pusat pentadbiran kastam yang baharu dalam tempoh terdekat ini.

“Kita dimaklumkan bahawa kastam telah diberikan tapak berkeluasan lima ekar berhampiran Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Jalan Sulaman sebagai pusat pentadbiran yang baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Janathan turut merakamkan penghargaan di atas usaha pengamal media yang telah mengangkat martabat JKDM dalam setiap penyampaian maklumat kepada orang awam berhubung fungsi jabatan itu selama ini.

“Jutaan terima kasih diucapkan atas sumbangan pengamal media di Sabah yang tidak putus-putus berperanan menyampaikan maklumat serta intipati JKDM termasuklah tangkapan, operasi dan sebagainya pada setiap tahun,” katanya.