Pendawai elektrik maut dihempap beranda

0

Mayat mangsa diusung oleh anggota bomba keluar dari lokasi runtuhan.

SANDAKAN: Seorang pekerja bahagian wayar elektrik maut apabila dihempap oleh beranda bangunan yang runtuh dalam kejadian di Batu 6, di sini, lewat petang Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang, mangsa dikenali sebagai Mustafa Mustamin, 20, dipercayai berada di tingkat satu bangunan yang masih dalam pembinaan berkenaan bagi melakukan kerja sebelum secara tiba-tiba beranda tingkat satu bangunan itu runtuh.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rowell Marong, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar jam 6 petang.

“Saya bersama Ketua Polis Balai (OCS) tiba di lokasi kejadian untuk melihat keadaan sebenar, dan saya difahamkan oleh jurutera bahawa ada kemungkinan kejadian berlaku ekoran hujan lebat semalam yang menyebabkan tanah mendap dan struktur terbabit runtuh,” katanya.

Ini kerana katanya, kawasan berkenaan adalah bekas tanah paya dan mungkin mendap disebabkan hujan.

“Keadaan itu menyebabkan sokongan pada struktur berkenaan jatuh…kita difahamkan juga simen belum cukup keras dan menyebabkan sokongan jatuh,” katanya yang menolak kemungkinan struktur tidak kukuh tetapi difahamkan struktur jatuh disebabkan tanah menjadi mendap ekoran hujan lebat.

Terdahulu itu, Rowell berkata pihaknya difahamkan bahawa sekitar jam 5.30 petang, seorang sepupu mangsa yang bekerja sebagai pendawai elektrik ada melihat mangsa di kawasan bangunan berkenaan.

“Sepupu mangsa ada melihat mangsa pergi ke bangunan sebelah dan nampak mangsa naik ke atas. Sekitar jam 5.45 petang, struktur itu jatuh dan sepupu mangsa tidak melihat mangsa berada di situ lagi.

“Namun ketika keluar, dia nampak motosikal mangsa masih ada di tempat ia diletakkan dan syak mangsa masih berada di dalam bangunan itu,” katanya sambil menambah, dia kemudiannya menghubungi bomba untuk mencari mangsa.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 8.03 malam.

 

Tiga jentera dan sebuah utiliti bersama 19 anggota bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 8.26 malam untuk membantu operasi mencari mangsa.

 

Jemishin berkata pihaknya berjaya mengesan kedudukan mangsa pada jam 10.04 malam dan mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah simen pada jam 10.23 malam.