Rampas tidak boleh sembarangan

0

KUCHING: Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak dapat sewenang-wenangnya merampas barangan jualan disyaki tiruan.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, serbuan dilakukan hanya jika pemilik jenama melaporkannya.

“Cuma mereka yang mencipta barangan asli lebih arif dalam mengesahkan barangan itu asli atau tiruan. Kita tak boleh rampas sembarangan tanpa ada aduan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, kelmarin pasukan penguatkuasanya melakukan serbuan terhadap premis di sebuah pasar raya di Jalan Matang berdasarkan laporan syarikat pengeluar jenama Converse, Adidas, Nike dan Levis.

Serbuan pada kira-kira jam 11 pagi itu membabitkan nilai rampasan terbesar setakat ini, iaitu RM30,000 dengan 27 jenis barangan disyaki tiruan termasuk kasut sukan, jeans, peralatan sukan, beg dan lain-lain.

Di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Wan Uzir berkata, jika didapati bersalah syarikat pemilik premis jualan barangan tiruan itu boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 seunit, manakala individu RM10,000 seunit.

Katanya, barangan disyaki tiruan itu kebanyakannya dibuat di Thailand dan China.

Termasuk kes terbaharu itu, mulai Januari 2013 PPDNKK Sarawak merampas barangan tiruan bernilai RM592,316.70 membabitkan 206 kes di seluruh negeri.

“Sebanyak 50 peratus kes telah dikenakan kompaun,” katanya.