SEB sertai BIBCo 2013, langkah proaktif memelihara warisan budaya Sarawak

0

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) menyertai Persidangan Manik Antarabangsa Borneo (BIBCo 2013) sebagai langkah proaktif dalam usaha memelihara sebahagian daripada warisan budaya Sarawak.

Persidangan yang diadakan baru-baru ini, memberi peluang baik kepada SEB terutama sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk belajar selain berkongsi pengetahuan tentang manik tempatan dan antarabangsa daripada para penyelidik sekali gus memupuk semangat cintakan budaya di kalangan masyarakat tempatan.

SEB menyasarkan untuk membantu golongan wanita, terutama daripada komuniti yang terjejas akibat projek pembangunan hidro bagi meneruskan kehidupan melalui pembuatan kraf tangan dan kemahiran keusahawanan.

Melalui aktiviti seumpama itu juga, masyarakat luar bandar dapat membantu mengekalkan tradisi budaya kegunaan manik dengan cara yang lebih berdaya maju.

Menurut Pengurus Pelaburan Sosial SEB Joanne Tan, pihaknya tidak hanya menekankan mengenai keperluan bekalan tenaga elektrik bahkan turut sama mementingkan nilai budaya serta warisan negeri.

“Selain komitmen kami (SEB) dalam menyediakan bekalan tenaga yang mencukupi kepada seluruh penduduk Sarawak, kami juga banyak menekankan mengenai kepentingan budaya dan warisan.

“Sehubungan itu, ia adalah untuk pembangunan masyarakat dan keusahawanan penduduk tempatan,” katanya.

SEB juga tidak ketinggalan untuk menaja lima pelajar tahun akhir daripada Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk turut serta dalam persidangan BIBCo 2013 itu.

Menurut Joanne, peluang yang diberikan kepada pelajar-pelajar tersebut adalah bertujuan memberi inspirasi kepada mereka untuk terus mengekalkan kewujudan tradisi dan warisan yang ada.

“Dengan menawarkan peluang ini kepada pelajar-pelajar seni kreatif, kita berharap mereka akan mendapat inspirasi untuk mengekalkan warisan budaya kita,” tambahnya.

Antara kemahiran yang ditunjukkan semasa persidangan itu termasuk kelas membuat manik, manik serat (Malaysia), ‘Recycle-Guna Semula’, manik asli (Taiwan), manik gelang ala Cina (China), demonstrasi lampu manik dan manik Bobble Orang Ulu.

Usaha SEB tidak hanya berhenti selepas persidangan itu berakhir kerana SEB merancang untuk bekerjasama dengan organisasi seni dan kraf yang berkaitan bagi persediaan latihan yang sesuai kepada masyarakat setempat bagi pembangunan masyarakat itu sendiri mahupun dari segi keusahawanan melalui kekayaan warisan budaya masyarakat.

Melalui program CSR, SEB telah mengenal pasti empat matlamat utama mereka termasuk pendidikan dan anak-anak muda, budaya dan warisan, pengurusan alam sekitar dan pemuliharaan serta pembangunan masyarakat dan keusahawanan.