Site Last Updated 10:13 am, Friday

Syarikat korporat diminta jalan aktiviti tanggungjawab sosial

by Eswandy Hinri. Posted on November 11, 2013, Monday

SIHAT DAN SEIMBANG: Para peserta melakukan aktiviti senaman bersama maskot beras Happy sebelum memulakan acara berjalan kaki di Tebingan Kuching, semalam.

Penganjuran program pupuk semangat kekeluargaan, kemasyarakatan

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mahu lebih banyak syarikat korporat menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial seperti penganjuran program larian atau berjalan kaki bagi memupuk semangat kekeluargaan dan kemasyarakatan di kawasannya.

Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, penganjuran aktiviti sebegitu mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan serta mengeratkan hubungan penduduk setempat dalam usaha melaksanakan program Cantik, Bersih dan Sihat (CBS).

“Penganjuran program Charity Walk with Happy merupakan contoh usaha yang baik oleh syarikat korporat dalam usaha melibatkan orang ramai supaya mengamalkan gaya kehidupan sihat serta menghayati program CBS,” ujar Abang Wahap sebelum melepaskan peserta acara berjalan kaki anjuran syarikat beras Lian Hua Seng Sdn Bhd di Tebingan Kuching, semalam.

Seramai 2,800 peserta menyertai acara berjalan kaki tersebut yang bertujuan menggalakkan penduduk bandar mengamalkan gaya hidup sihat, seimbang serta aktif di samping sebagai program tanggungjawab sosial korporat oleh syarikat terbabit.

Turut hadir Ketua Bahagian Pembangunan Perhubungan Komuniti Basil Wee Geok Sang, Pengarah Urusan Kumpulan Lian Hua Seng Chew Chee Heng dan Ketua Pegawai Eksekutif Chew Chiaw Han.

“Semua orang yang hadir pada pagi ini adalah pemenang kerana menyokong usaha kebajikan serta mengahayati kehidupan yang sihat, seimbang dan aktif.

“Ini merupakan program yang amat digalakkan dan saya memuji usaha pihak penganjur dan berharap ia akan diadakan dengan lebih kerap pada masa akan datang,” kata Abang Wahap.

Sementara itu pengerusi penganjur Alex Lee Choon Foh berkata, program Charity Walk tersebut merupakan anjuran kali kedua di mana mereka berjaya mengumpul sejumlah RM10,700 pada tahun lepas yang didermakan kepada Pertubuhan Orang Cacat Sarawak.

“Pada tahun ini, kami berhasrat mengutip derma bagi Che Hia Khor Moral Uplifting Society Kidney Foundation untuk membantu para pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan dan meringankan kos perubatan mereka.

“Kami juga ingin mengumumkan sejumlah RM28,000 berjaya dikumpul pada Charity Walk kali ini daripada penyertaan peserta dan ditambah oleh pihak kami sebanyak RM14,000 yang akan disumbangkan kepada badan kebajikan tersebut,” ujar Lee.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.