Gagal mendapat pendidikan di peringkat prasekolah datangkan banyak masalah

0

SIBU: Gagal mendapat pendidikan di peringkat prasekolah akan mendatangkan banyak masalah, kata Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri.

Menurutnya, pendidikan prasekolah memberi implikasi yang sungguh besar dalam membentuk masa depan kanak-kanak di peringkat awal.

“Sokongan ibu bapa sangat penting dan mereka perlu sedar akan kepentingan prasekolah pada masa kini.

“Ini kerana pendidikan prasekolah diwajibkan dalam sistem pendidikan negara bagi mendedahkan kanak-kanak terhadap alam pendidikan formal.

“Sekiranya ibu bapa tidak menghantar anak-anak ke prasekolah ia boleh melambatkan proses pembelajaran anakanak mereka terutama akan menghadapi masalah 4M iaitu Mengira, Membaca, Menulis dan Menaakul,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Konvokesyen Prasekolah Peringkat Daerah Kanowit di Dewan SK Saint Francis Xavier, Kanowit dekat sini, baru-baru ini.

Seramai 235 kanak-kanak prasekolah yang berumur enam tahun daripada 18 sekolah rendah di daerah Kanowit menerima sijil tamat prasekolah mereka daripada Maurice.

Objektif majlis itu diadakan adalah untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada murid prasekolah, memberi pendedahan dan pengalaman, memupuk semangat cintakan sekolah, membentuk sifat peribadi, perwatakan dan konsep diri yang positif dan menambahkan keyakinan diri.

Hadir sama ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kanowit Berita Sabang, Guru Besar SK Saint Francis Xavier Joanes Uno, Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail serta para tetamu kehormat yang lain.

Sementara itu, menurut beliau lagi, jika anak-anak tidak mendapat pendidikan prasekolah dan terus melompat ke tahun satu, ia akan menimbulkan banyak masalah khususnya kepada anak-anak itu sendiri.

Jelasnya, anak-anak itu akan berasa rendah diri disebabkan rakan-rakan sebayanya yang lain sudah mengenali huruf, angka dan sebagainya.

“Banyak masalah timbul jika kita menyekolahkan anak-anak dengan cara sedemikian.

“Ia bukan sahaja memberi kesan kepada anak-anak itu malah turut memberi masalah kepada guru yang mengajar khususnya yang berkaitan dengan skop pendidikannya. Ini juga boleh membuatkan kanak-kanak itu ketinggalan.

“Peringkat awalan prasekolah sangatlah penting kerana dari situ kita berupaya melahirkan anak-anak yang berdaya saing seandainya mendapat pendidikan yang secukupnya di prasekolah,” tegasnya.

Sehubungan itu, Maurice berkata pendidikan prasekolah pada masa kini telah menyediakan pelbagai pendekatan untuk memantapkan pembelajaran kanak-kanak.

“Justeru, jangan risau untuk menghantar anak-anak ke prasekolah. Segalanya cukup termasuk tenaga pengajarnya yang terlatih dalam memberi ilmu yang terbaik kepada anakanak kita,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama antara guru dan ibu bapa juga amat penting bagi menjayakan program-program sekolah.

Tambahnya, ibu bapa harus memberi sokongan yang penuh kepada aktiviti di sekolah bagi manfaat anak mereka.