Penduduk sebenarnya sokong Empangan Baram

2

BERSIHKAN NAMA: Penghulu Ajang Wan (duduk, tiga kanan), bekas Penghulu Tama Paya Ding (duduk, tengah) kedua-dua ketua kaum, Albert Wan Deng (duduk,tiga kiri), Luhat Jok (duduk, dua kanan) dan ahli JKKK, hadir pada sidang media bagi membersihkan nama Kampung Long Na’ah dan Long Kesseh, daripada dipergunakan oleh individu tertentu untuk kepentingan diri mereka.

Kecam pihak jual nama Long Na’ah, Long Kesseh dalam isu saman terhadap KM, kerajaan

MIRI: Penduduk kaum Kayan di Long Na’ah dan Long Kesseh di Ulu Baram, semalam mengecam tindakan pihak yang menjual nama kedua-dua rumah panjang tersebut dalam isu saman terhadap Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sarawak baru-baru ini.

Ketua Masyarakat Kawasan Akah-Patah (yang menjaga Long Na’ah dan Long Kesseh), Penghulu Ajang Wan dan bekas Penghulunya Tama Paya Ding berkata kumpulan yang mengemukakan saman berkenaan bukan penduduk kedua-dua kampung itu sahaja sebaliknya turut melibatkan penduduk dari rumah-rumah panjang lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bukan ditubuh atau berasal sama ada dari Long Na’ah atau Long Kesseh.

“Hanya dua tiga orang sahaja penduduk dari kedua-dua rumah panjang ini yang tidak bersetuju dan terbabit dalam kumpulan tersebut manakala sebahagian besar yang lain bukan penduduk kawasan kami, justeru ia tidak boleh membabitkan nama Long Na’ah dan Long Kesseh.

“Jika mereka mahu membantah atau menyaman, mereka boleh lakukannya dengan menggunakan nama mereka sendiri tetapi jangan membawa seluruh penduduk dari kedua-dua kampung ini yang tidak terbabit sama sekali dalam kumpulan mereka,” ujarnya.

Beliau turut kesal kerana individu terbabit yang menentang dan mengemukakan saman berkenaan dengan mudah diperalatkan untuk menggunakan nama rumah panjang mereka tanpa meminta nasihat, pandangan dan kebenaran daripada ketua kaum kedua-dua rumah panjang tersebut.

Ajang berkata tindakan itu amat memalukan kerana ia seperti menjual nama kedua-dua rumah panjang tersebut untuk ‘menentang’ Kerajaan Negeri Sarawak dan Ketua Menterinya.

Sehubungan itu katanya, beliau sebagai ketua masyarakat dan telah berbincang dengan pemimpin peringkat kampung termasuk ketua kaum kedua-dua rumah panjang tersebut, sebulat suara bersetuju untuk mengambil tindakan ‘denda’ mengikut adat kaum Kayan dan Kenyah.

“Apabila anda menggunakan nama rumah panjang di mana ketua kaumnya dan hampir seluruh penduduknya tidak terlibat sama sekali tetapi demi kepentingan diri, itu bermakna anda menjual ‘rumah panjang’ dan kami kaum Kayan-Kenyah ada adat tersendiri untuk dikenakan ke atas seseorang itu,” katanya.

Bergantung kepada besarnya kesalahan seseorang itu, maka adat akan ditentukan oleh ketua masyarakat dan paling kurang menurut Ajang, pesalah boleh dikenakan ‘denda’ sebuah gong dan sebilah parang ilang bagi mengisi adat berkenaan untuk setiap rumah panjang.

Beliau memberitahu demikian pada sidang media yang diadakan di sini semalam, yang turut dipengerusikan bersama Tama Paya Ding dan dihadiri oleh Ketua Kaum Long Na’ah Albert Wan Deng, Ketua Kaum Long Kesseh Luhat Jok bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daripada kedua-dua rumah panjang itu.

“Pada sidang media ini juga kami ingin memaklumkan kepada umum bahawa Long Na’ah dan Long Kesseh tidak pernah membantah atau menolak projek cadangan untuk membina Empangan Baram ini, sebaliknya menerima ia sebulat suara dan dengan hati terbuka kerana kami tahu akan manfaat dan kesannya kepada pembangunan dan masa depan kami,” ujar Ajang lagi.

Dalam pada itu, Albert Wan memberitahu beliau bersama ketua kaum Long Kesseh, ketua-ketua masyarakat dan JKKK kedua-dua buah kampung berkenaan kelak akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, bagi membersihkan nama kedua-dua buah kampung tersebut.

“Kami akan bertemu dengan Ketua Menteri Pehin Sri Taib untuk memperjelaskan bahawa nama Long Na’ah dan Long Kesseh telah dipergunakan dalam saman berkenaan dan kami mahu membersihkan nama rumah panjang kami,” katanya sambil menambah kata, kunjungan hormat itu akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, pada 6 November lalu, enam individu yang mendakwa diri sebagai wakil kepada kedua-dua rumah panjang tersebut, telah memfailkan saman terhadap Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sarawak bagi menuntut hak mereka ke atas dua plot tanah di kawasan terbabit yang dicadangkan untuk pembinaan Empangan Baram.

Saman itu yang difailkan menerusi peguam bela Harrison Ngau dan telah diserahkan ke pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Miri pada petang 6 November lalu.

Enam individu terbabit selaku plaintif, terdiri daripada Anyi Eng, Edward Jok Wan serta Engan Eng dari Long Na’ah manakala Anyi Ajang, Malang Laing dan Wan Jok dari Long Kesseh.

Dalam saman itu, mereka telah menamakan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selaku Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar sebagai defendan pertama dan Kerajaan Negeri Sarawak selaku defendan kedua.

Menurut Harrison, perkara asas yang dibangkitkan dalam saman itu adalah untuk mencabar peruntukan Seksyen 5 (3) dan (4) Kanun Tanah Sarawak yang menyatakan penduduk peribumi merupakan sebahagian daripada tanah pusaka dan hak mereka ke atas tanah tersebut tidak boleh diganggu gugat.

Dalam pada itu, lebih 70 penduduk dari kawasan Baram termasuk pemimpin parti politik pembangkang di sini, telah mengiringi keenam-enam mereka hadir ke Mahkamah Tinggi ketika itu.