Lelaki sakit mental hilang di hutan

0

KOTA MARUDU: Seorang lelaki yang menghidap penyakit mental dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas setelah keluar berkebun di belakang rumahnya di Kampung Taragoh, di sini.

Dikenali sebagai Jaiko Kadir, 40, dia kali terakhir dilihat oleh keluarganya kira-kira jam 7 pagi 8 November lalu dan kemudiannya tidak lagi kelihatan selepas itu.

Bimbang perkara buruk terjadi, ahli keluarga mangsa melaporkan kejadian itu kepada pihak polis kerana mangsa dikhuatiri hilang di kawasan hutan berhampiran kampung itu.

Menurut sepupu mangsa, Janet Yading, 48, kehilangan mangsa hanya disedari apabila dia tidak pulang pada tengah malam Jumaat lepas itu.

“Saya telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh adik mangsa di mana pada kali terakhir dia dilhat, dia memakai baju T warna biru dan berseluar pendek serta tidak berselipar menuju ke kawasan belakang rumah untuk berkebun.

“Mangsa memang selalu ke kawasan kebun di belakang rumahnya, namun dia sentiasa pulang ke rumah walaupun sudah lewat.

“Kami amat bimbang akan keadaannya berikutan dia mengalami penyakit mental selain penyakit lain seperti darah tinggi dan kencing manis,” katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubunginya di talian 0168120145.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.11 pagi.

“Empat anggota telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat,” katanya.