Pemandu maut kereta terbalik rempuh pagar

0

KEADAAN Proton Iswara terbabit yang terbabas dan merempuh pagar di sebuah rumah berhampiran Kampung Terawi, Penampang pagi kelmarin.

PENAMPANG: Seorang maut manakala dua lagi rakannya parah setelah Proton Iswara yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh pagar sebuah rumah di Jalan Tulagis, berhampiran Kampung Terawi di sini pagi kelmarin.

Mangsa yang meninggal dunia adalah pemandu kenderaan dan dikenali sebagai Cliff Calley Chan, 33, ekoran kecederaan parah di bahagian kepalanya dalam insiden pada jam 3.05 pagi berkenaan.

Difahamkan sebelum kejadian, kereta yang dipandu mangsa sedang dalam perjalanan menuju ke Putatan dari arah Beverly Hills, sebelum hilang kawalan sebaik tiba di lokasi terbabit.

Kenderaan itu kemudiannya terbabas sebelum merempuh pagar sebuah kediaman di situ sehingga mengakibatkan Proton Iswara berkenaan terbalik di hadapan rumah.

Dua lagi rakan mangsa yang masing-masing berusia 23 dan 24 tahun turut mengalami kecederaan parah dalam kemalangan itu telah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi menerima rawatan kecemasan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurut beliau hasil maklumat awal meninggal mangsa yang meninggal adalah seorang lelaki tempatan dan juga merupakan pemandu Proton Iswara berkenaan.

“Manakala dua lagi rakan mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang merupakan penumpang kenderaan itu pula sedang menerima rawatan lanjut di HQE setelah mengalami kecederaan parah dalam kemalangan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden itu untuk tampil segera membantu siasatan,” katanya.