UMS terus usaha mempelbagai idea kreatif dan inovatif

0

KOTA KINABALU: Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) diseru supaya meneruskan usaha mempelbagaikan idea kreatif dan berinovatif bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah berkata anjakan daripada cara kerja rutin kepada pengembangan idea baharu serta dinamik amat dituntut bagi memastikan pembudayaan inovasi diterapkan dalam setiap hubung kait perkerjaan.

“Usaha membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif memerlukan satu corak pemikiran berasakan penciptaan.

“Justeru, minda sebagai pencipta diperlukan agar setiap tugasan yang dilaksanakan bersifat infiniti, berkebolehan menghasilkan idea baharu yang hebat dan mengkagumkan, dan seterusnya menjana transformasi yang mampu dikongsi kepada semua orang,” katanya dalam ucapan perasmiannya pada Majlis Anugerah Inovasi UMS 2013, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Sekolah Perubatan UMS muncul sebagai juara keseluruhan dengan memenangi Anugerah Inovasi Naib Canselor.

Daripada sembilan anugerah yang dipertandingkan, Sekolah Perubatan turut memenangi Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik dan Anugerah Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) bagi kategori pengurusan dan juga kategori teknikal.

Harun berkata pihak UMS menghargai sumbangan warganya yang telah mempelbagaikan dimensi mencakupi prosuder kerja, kaedah berfikir dan tindakan yang mengubah realiti sedia ada dengan lebih mapan.

“Diharap kejayaan yang dikecapi oleh penerima anugerah akan menyemarakkan tekad dan semangat untuk terus menginovasikan perkhidmatan dan meningkatkan kagi rentak inovasi dan kreativiti,” katanya.

Turut hadir, Pendaftar UMS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis Anugerah Inovasi 2013, Leftenan Kolonel Datuk Abdullah Said dan tetamu kehormat yang lain.