Wanita lapor polis dakwa diugut kenalan internet

0

SANDAKAN: Seorang wanita membuat laporan polis di sini mendakwa diugut oleh seorang lelaki yang dikenalinya melalui internet.

Dalam laporannya, pengadu berumur 28 tahun memberitahu dia mengenali seorang lelaki iaitu suspek melalui internet pada bulan Oktober 2013.

Lelaki itu telah mengganggu pengadu beberapa kali melalui telefon tetapi pengadu tidak melayan panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Selepas itu, lelaki berkenaan telah beberapa kali menghubungi talian pejabat pengadu hingga mengganggu kerja pejabat pengadu.

Lelaki berkenaan juga mengugut akan membuat laporan tatatertib mengenai pengadu ke atas pihak atasannya, serta menyebarkan gambar yang boleh mengaibkan pengadu sekiranya tidak memberi kerjasama seperti yang diminta.

Lelaki terbabit juga memfitnah pengadu dengan menyatakan pengadu menipu dan melarikan duitnya dengan membuat panggilan ke pejabat pengadu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rowell Marong yang mengesahkan kes berkenaan berkata siasatan yang dijalankan mendapati pengadu merupakan tenaga pengajar di sebuah institut di Sandakan, manakala suspek hanya dikenali dengan nama Azizul Afendy Rahim dan tinggal di Taiping, Perak.

“Pengadu mengenali suspek melalui Yahoo Messenger (YM) dan tidak pernah berjumpa atau melihat muka suspek, malah hanya berbual melalui internet atau telefon.

“Menurut pengadu, dia pernah membuat laporan ke Bahagian Komersil bahawa suspek telah menipunya di mana pengadu telah memberikan RM30,000 kepada suspek iaitu RM3,000 untuk jamin sebab ditahan polis dan RM27,000 lagi untuk memulakan perniagaan. Bagaimanapun, suspek tidak pernah memberi apa-apa dokumen berkaitan perniagaan berkenaan.

“Berkenaan dengan gambar yang mengaibkan pula, pengadu tidak pernah memberikan apa-apa gambar kepada suspek kerana mereka hanya berkomunikasi melalui YM sahaja. Suspek juga tidak pernah menunjukkan gambar berkenaan kepada pengadu,” katanya sambil menambah, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.