Artis pencacah tatu dari serata dunia berkumpul 16-17 November

0

MIRI: Artis pencacah tatu dari 41 studio serata dunia akan berkumpul di Miri pada hujung minggu ini untuk Ekspo Tatu Kenarau 1 Sarawak 2013.

Antaranya artis pencacah tatu dari Belanda, Indonesia, Taiwan, Bali, China dan Brunei selain Kuala Lumpur, Johor, Klang, Pulau Pinang, Sabah, Kuching serta Miri.

Presiden Persatuan Seni Lukisan Badan Sarawak (PSLBS) Felix Dixon yang juga penganjur ekspo berkata, program tersebut tidak boleh dilepaskan oleh peminat-peminat seni tatu.

“Semua artis berkenaan akan berkampung di sini untuk ekspo pada 16 dan 17 November ini,” katanya.

Ekspo bakal diadakan di tingkat tiga Dewan Suarah Miri dari jam 2.30 petang hingga 10 malam pada 16 November.

Manakala 17 November, ekspo bakal bermula pada jam 12 tengah hari hingga 10 malam dan kemasukan adalah RM10 seorang.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Lawrence Lai dijangka menyempurnakan majlis perasmian program pada hari pertama ekspo.

Sementara itu, Felix memberitahu beberapa pertandingan akan turut diadakan untuk orang awam yang dibahagikan mengikut kategori tatu.

“Kita berharap untuk meneruskan kesinambungan dan memelihara kebudayaan seni ini sekali gus membangunkan kemahiran tersebut di Sarawak,” jelasnya.

Beliau menambah, pihaknya mahu mempromosikan seni tersebut sebagai salah satu daripada karier profesional terutamanya di kalangan belia.