Sabah perlu teruskan usaha lindungi alam semulajadi

0

Rosmawati menyampaikan cenderamata kepada Pang (tengah).

KOTA KINABALU: Usaha memulihara dan melindungi alam semulajadi termasuk Kawasan Pemuliharaan Maliau Basin (MBCA) perlu dipandang serius oleh negeri ini bagi memastikan ia dilindungi agar boleh dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

Menteri Pelancongan, Kebudyaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata sebagai hutan hujan yang asli, Maliau Basin perlu dilindungi serta diuruskan dengan baik kerana ia merupakan warisan yang penting.

Oleh itu, Pelan Pengurusan MBCA yang dikemaskini perlu mengambil kira pembangunan yang baru di kawasan sekitarnya serta isu nasional dan global yang baru dalam usaha memulihara dan melindungi hutan berkenaan.

Katanya sejak Pelan Pengurusan untuk MBCA yang pertama dilaksanakan, sudah banyak perkembangan yang dapat dilihat, termasuklah usaha pengazetan Maliau Basin dari Hutan Simpan kelas kedua (komersil) kepada Hutan Simpan kelas pertama (perlindungan) yang meliputi kawasan sekitarnya seperti Lembah Danum dan Imbak Canyon.

Katanya pelaksanaan pelan pengurusan strategik itu bertujuan untuk mengekalkan dan melindungi dan memulihara MBCA.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Pang Yuk Ming, semasa perasmian Bengkel Pelan Pengurusan Kawasan Pemuliharaan Maliau Basin, di sini kelmarin.

Masidi berkata sejak bertahun lamanya telah banyak perubahan persekitaran yang berlaku di MBCA dari segi penggunaan tanah.

Di pihak kerajaan katanya, dengan kelulusan Pelan Tindakan Spesis yang disediakan oleh Jabatan Hidupan Liar yang dilancarkan pada Januari 2012, ia telah meningkatkan tahap kebimbangan terhadap keperluan untuk melindungi biodiversiti di negeri ini.

Pelan tindakan itu antara lain bertujuan untuk pemuliharaan jangka panjang bagi Gajah Pygmy Borneo, Badak Sumbu dan Orang Utan.

Katanya usaha sedang dilakukan untuk menyenaraikan Danum-Maliau-Imbak (DaMal) sebagai tapak warisan dunia dan penamaannya telah mendapat pengesahan dari Kabinet negeri dan telah dikemukakan kepada Jabatan Warisan Kebangsaan.

Masidi berkata hutan merupakan unsur yang penting yang perlu diambil kira dalam melaksanakan program pengurusan alam sekitar di semua peringkat. Ia kerana perlindungan dan pemuliharaan hutan berkait rapat dengan pembangunan ekonomi dan ekuiti sosial masyarakat.

Menyentuh mengenai program itu, beliau memuji usaha Kumpulan Yayasan Sabah dalam menyediakan Pelan Strategik Pengurusan Maliau Basin 10 tahun lalu dan kini mereka ambil inisiatif untuk mengkaji pelan berkenaan yang telah tamat pada tahun 2012.

“Kini, dalam usaha menguruskan kawasan terlindung itu, Pelan Strategik Pengurusan telah dilanjutkan untuk tempoh 10 tahun akan datang dengan melakukan pengubahsuaian dan pengenalan polisi yang baru,” katanya.

Melihat usaha itu, Masidi menyarankan badan swasta lain untuk sama-sama melibatkan diri dalam pemuliharaan alam sekitar dengan menjadikan ia sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat mereka.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad dalam ucapannya berharap melalui bengkel itu, peserta akan mengambil peluang untuk sama-sama membincangkan isu dan perkara berkaitan yang mungkin boleh membantu menambahbaik pelan yang sedia ada.

Beliau turut menghargai usaha NEPCon sebagai pertubuhan bukan berkeuntungan antarabangsa untuk membantu mengkaji Pelan Pengurusan MBCA yang sedia ada.

“Pelan Strategik Pengurusan yang akan bermula pada tahun 2014 hingga 2013 itu akan membantu kita untuk meningkatkan dan memahami dengan lebih dalam mengenai isu yang berkaitan dengan nilai pihak berkepentingan untuk merancang pembangunan mampan MBCA,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengurus Kanan Kumpulan, Pembangunan Manusia dan Perkhidmatan Korporat, Kumpulan Yayasan Sabah, Rosmawati Lasuki.