Semak harga barang sebelum bayar

0

 

Suhaimi (kanan) bersama James (tengah) dan pengurus premis semasa membuat pemeriksaan tarikh luput barangan di Giant Superstore Papar.

PAPAR: Pengguna di negeri ini dinasihatkan untuk membuat penyemakan harga barangan yang dibeli semasa membuat pembayaran untuk mempastikan harga barangan yang dibeli adalah sama dengan harga yang ditawarkan.

Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sabah (PPDNKK), Suhaimi Mat Sari berkata pihaknya sering kali menerima aduan berhubung harga barangan yang dipamerkan tidak sama dengan harga dalam mesin pengimbas semasa membuat pembayaran di kaunter.

“Ini merupakan satu kesalahan serius dan pihak kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat atau peniaga terbabit melalui undang-undang sedia ada kerana mengenakan dua harga yang berlainan untuk barang yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Kempen Kesedaran Pengguna anjuran bersama Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) di Giant Superstore di sini Selasa lalu.

Suhaimi mengingatkan semua pemilik premis perniagaan yang menggunakan sistem ‘Bar Code’ supaya sentiasa mengemaskinikan sistem itu untuk mengelakkan pertindihan harga barangan sama yang mengelirukan pengguna.

“Pengguna juga harus mengamalkan budaya untuk sentiasa memeriksa setiap resit pembayaran sebelum meninggalkan premis untuk mempastikan bayaran yang dibuat tepat dan tidak bertindih.

“Selain itu, budaya membuat perbandingan harga sebelum membuat pilihan dan sentiasa memeriksa tarikh luput barangan yang dibeli merupakan elemen utama untuk menjadi pengguna bijak,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (Caps), James Baga merasa terharu di atas sambutan masyarakat pengguna di Papar terhadap Kempen Kesedaran Pengguna yang julung kali dianjurkan di daerah ini.

“Sambutan menggalakkan terhadap kempen ini memberi petanda bahawa pengguna kian arif tentang hak-hak mereka dan mahu hak-hak itu dilindungi sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya kempen seperti itu perlu diadakan dari masa ke semasa untuk mendidik dan memberikan kesedaran kepada warga pengguna tentang hak-hak mereka.

Turut hadir di majlis pelancaran itu ialah Pegawai PPDNKK Sabah, Murtazzah Manap, Timbalan Presiden Caps, Jusking Ejim, Setiausaha Agung Caps, Stanly Voo, Pengerusi Caps P175 Papar, Evelyn Masaui dan ahli-ahli Majlis Tertinggi Caps Sabah.