KPS laksana dasar untuk kekalkan budaya Sarawak

0

KUCHING: Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) sentiasa berusaha melaksanakan dasar kebudayaan dalam memulihara, memelihara dan mengekalkan budaya bangsa Sarawak terutamanya di kalangan belia.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, untuk itu pelbagai program dilaksanakan menerusi Seksyen Pembangunan Kebudayaan dan setakat ini, sebanyak 70 program kesenian telah dianjurkan di negeri ini.

“Kita di kementerian sentiasa berusaha untuk memastikan pelbagai pencapaian cemerlang terus dikecapi masyarakat terutama golongan belia di negeri ini dalam sukan, budaya, sosio dan sebagainya.

“Kita harap misi untuk memelihara dan mengekal seni budaya Sarawak seiring dengan pembangunan sosioekonomi akan tercapai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Seni Ke-2 di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institut Perguruan Batu Lintang di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 236 peserta yang telah mengikuti Kursus Tarian Tradisional, Kursus Muzik dan Kursus Teater menamatkan pengajian mereka selepas menjalani kursus sepanjang tahun di Seksyen Pembangunan Kebudayaan.

“Kursus seperti ini bertujuan untuk melaksanakan dasar kebudayaan iaitu memulihara, memelihara dan mengekalkan budaya bangsa kita khususnya Sarawak dan Malaysia amnya.

“Kursus ini juga dapat memberi pendedahan asas dan penggalakkan kepada orang ramai terutamanya golongan belia untuk meminati bidang seni,” kata Karim.

Menteri Muda Perumahan itu juga berkata, di samping mencungkil bakat peserta dalam bidang tari, muzik dan teater, ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim kementerian dengan masyarakat setempat.

Kursus sepanjang tahun itu disertai para pelajar sekolah rendah dan menengah, lepasan sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), kakitangan awam dan swasta.

Pada masa sama, beliau memberitahu Sarawak juga bertuah kerana dipilih sebagai lokasi untuk mewujudkan sebuah sekolah seni kedua di negara ini selepas Johor.

“Di Malaysia, seni telah berkembang dengan pesat dan menjadi subjek kokurikulum di sekolah rendah dan menengah termasuk di IPT dan kita di Sarawak amat bertuah kerana telah dipilih sebagai sebuah lokasi untuk mewujudkan sekolah seni sekali gus menjadi medium bagi memperkembangkan seni di kalangan anak-anak Sarawak,” tambahnya.

Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha Kebudayaan Nancy Jolhi dan tetamu kehormat lain.