Dipaksa minum arak, ambil dadah sebelum diarah melakukan seks

0

KUCHING: Seorang wanita mendakwa dipaksa meminum minuman beralkohol dan mengambil sejenis dadah sebelum diarah melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki warga emas tiga minggu lalu.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 29 tahun dan merupakan pekerja am di sebuah stesen minyak mendakwa kawannya seorang wanita bersama tiga lelaki datang ke rumah sewanya yang terletak di Petra Jaya di sini.

Mangsa diarah mengambil beberapa pil ekstasi dan dipaksa melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki ‘tua’ dan diberitahu akan dibayar RM500 atas perbuatannya itu.

Apabila mangsa enggan melakukan hubungan seks dengan lelaki tersebut, salah seorang daripada tiga lelaki yang datang ke rumahnya mencekik dan mengancam mahu membunuhnya.

Laporan polis telah dibuat berhubung insiden tersebut dan siasatan kini masih dilakukan.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang pemandu van membuat laporan polis selepas van miliknya musnah dipercayai dibakar di Kampung Gita Lama tengah hari semalam.

Pemandu berusia 29 tahun itu dikatakan sedang memperbaiki sebuah kereta di hadapan sebuah rumah apabila isteri rakannya memaklumkan van miliknya sedang terbakar.

Dia dan beberapa rakannnya tergegas ke lokasi van dimaksudkan dan melihat tayar sebelah kiri bahagian belakang van terbakar.

Dipercayai insiden itu disyaki disebabkan buatan khianat kerana terdapat kesan petrol di tempat kejadian. Kes masih dalam siasatan polis.