Remaja hilang selepas kunjungi villa terbiar di Jalan Skudai

0

JOHOR BAHARU: Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang selepas dikatakan mengunjungi sebuah rumah lama yang terbiar di Jalan Skudai, berhadapan Pantai Lido, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Supt Abdul Samad Salleh berkata kehila-ngan Mohamad Izzat Izzudin Husin, 16, disedari ibunya, Norhayati Mohamad, 38, kelmarin apabila dia tidak pulang ke rumah di Kampung Hajah Hasnah, Majidee, di sini, sejak keluar pada Sabtu.

“Norhayati kemudian menghubungi salah seorang daripada rakan Mohamad Izzat Izzudin lalu dimaklumkan bahawa remaja terbabit telah pergi ke rumah tersebut yang lebih dikenali sebagai ‘Villa Nabila’.

“Wanita terbabit kemudian pergi mencari sendiri Mohamad Izzat Izzudin di villa tersebut sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Danga Bay, di sini, pada kira-kira jam 1 pagi semalam selepas gagal menemui remaja berkenaan,” katanya kepada pemberita yang ditemui di lokasi terbabit, semalam.

Abdul Samad berkata sepasukan polis bersama unit anjing pengesan dan pasukan bomba digerakkan ke villa itu untuk melakukan operasi mengesan remaja terbabit, bagaimanapun, belum me-nemuinya sehingga kini.

Beliau berkata kes berke-naan diklasifikasikan sebagai orang hilang dan sehubungan itu polis turut menafikan khabar angin yang tersebar di laman sosial Facebook dengan mendakwa sekumpulan 23 remaja hilang selepas masuk ke dalam villa berkenaan manakala tujuh lagi berjaya keluar dari bangunan itu.

Katanya, setakat ini pihak-nya hanya menerima satu laporan polis berhubung orang hilang dan menggesa orang ramai supaya tidak menyalur-kan maklumat yang tidak tepat hingga boleh mengelirukan pelbagai pihak.

Sementara itu, orang ramai didapati mengerumuni pekarangan pintu masuk villa tersebut sejak malam kelmarin hingga menyebabkan kesesa-kan lalu lintas di sepanjang Jalan Skudai, pagi semalam.

Villa tersebut yang terdiri daripada tiga buah bangunan yang sudah usang berusia 40 tahun lepas sering dikaitkan dengan pelbagai kejadian mistik hingga menjadi tumpuan orang ramai termasuk luar negara khususnya pengkaji aktiviti paranormal.

Salah seorang remaja yang masuk ke villa terbabit, Megat Irfan Abdullah Shariman, 16, ketika ditemui berkata beberapa rakannya diserang histeria selepas 20 minit ber-ada di dalam bangunan itu.

“Saya masuk ke bangunan itu sekadar suka-suka bersama 30 yang lain (termasuk Mohamad Izzat Izzudin) pada jam 12.30 tengah malam, awal hari Ahad. Apabila terjadi histeria, kami semua bergegas keluar dan mendapatkan pertolongan dari sebuah masjid berhampiran.

“Saya tidak menyangka ada di kalangan kami yang hilang selepas semuanya bersurai kerana saya sendiri pun tidak berapa mengenali ramai yang lain,” katanya. — Bernama