Abang mangsa culik sahkan adik ada masalah kesihatan

0

TAWAU: Chang An Wei, wanita warga Taiwan yang disyaki diculik sekumpulan pengganas di Pulau Pom-Pom, Semporna, Jumaat lepas dikatakan mempunyai masalah kesihatan dan menghidap penyakit diabetes.

Abang mangsa, Richard Chang Ta Kong, mengesahkan perkara itu ketika ditemui media di hotel penginapannya di sini kelmarin selepas melawat mayat mendiang suami adiknya, Hsu Min Li di Rumah Mayat, Hospital Tawau.

Richard yang beberapa kali mengelak daripada menjawab soalan ketika ditemui media berkata beliau tidak boleh menjawab soalan pihak media atas faktor situasi semasa yang tidak mengizinkannya dan khuatir dengan keselamatan adiknya.

Ketika ditanya sama ada beliau ada menerima makluman ataupun sebarang perkhabaran (rasmi) mengenai situasi terkini adiknya yang disyaki ditahan pengganas, Richard berkata dia hanya mendapat tahu menerusi laporan media.

Beliau turut meminta pihak media supaya tidak mendesak dirinya sekeluarga dengan mengemukakan `soalan bertubi-tubi’ berhubung kes pembunuhan dan penculikan terbabit kerana khuatir kenyataan yang diberikannya disalah-tafsir.

Richard yang hadir ke Tawau bersama keluarganya yang lain untuk menuntut mayat mendiang Min Li, pada masa sama memberikan penghargaan kepada semua pihak yang prihatin terhadap mereka.

Sementara itu, Richard dan keluarganya dilihat tiba di Rumah Mayat Hospital Tawau dengan menaiki van Pom-Pom Island Resort dan ditemani wakil Kedutaan Taiwan serta diiringi pihak polis.

Hadir sama di rumah mayat terbabit, Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah IPD Tawau, DSP Awang Arshad Awang Bakar serta lebih 20 wartawan, jurugambar dan jurukamera dari media tempatan, nasional, antarabangsa termasuk Taiwan.