Merompak untuk berkahwin?

0

HAMZA (tengah) menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada suspek susulan ditahan dalam kejadian itu di IPK Kepayan kelmarin.

Suspek lari ke Sipitang selepas bunuh pasangan suami di Penampang

KOTA KINABALU: Polis berjaya mencekup seorang lelaki warga asing yang didapati melakukan pembunuhan membabitkan pasangan suami isteri di sebuah kilang memproses makanan laut di Penampang, baru-baru ini.

Suspek berusia 21 tahun itu dikatakan menyembunyikan diri di sebuah rumah setinggan kawasan pembinaan Sabah Ammonia Urea Project (Samur) Kampung Long, Kinangan, Sipitang, sebelum ditahan kira-kira 2.20 petang Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata suspek berkenaan diburu selepas dikenal pasti terlibat dalam kes berkenaan yang berlaku di Pusat Perindustrian Oriental, HSK, Jalan Bundusan pada 8 November lepas.

“Hasil siasatan mendapati suspek melarikan diri ke daerah Sipitang dengan menaiki bas pada Selasa lalu selepas bersembunyi di rumah rakannya di Kampung Likas setelah melakukan kegiatan jenayah itu.

“Siasatan awal turut mendapati motif pembunuhan berkenaan adalah rompakan setelah pemeriksaan di lokasi pembunuhan menunjukkan terdapat barangan hilang seperti wang tunai berjumlah RM800 dipercayai milik mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan kelmarin.

Suspek dikatakan berbuat demikian selepas terdesak dan memerlukan wang bagi melangsungkan perkahwinannya dalam tempoh terdekat.

Pasangan suami isteri berkenaan, Chen Ching Woei, 42, dan isteri, Chang Ling Ping, 44, ditemui dibunuh dengan kesan lumuran darah di kepala dalam bilik tidur mereka.

Mangsa berasal dari Sarawak bekerja di kilang itu sebagai pemandu lori dan menghuni sebuah bilik di situ sejak dua tahun lalu.

Hamza berkata susulan tangkapan itu, suspek mengakui menggunakan senjata tukul bagi membunuh pasangan berkenaan dan mengakui mengambil wang tunai sebanyak RM800 berserta dua telefon bimbit milik mangsa.

“Kesemua barangan kes berupa tukul dan sebatang pemutar skru yang dipercayai dibuang suspek selepas melakukan kegiatan jenayahnya telah dijumpai dalam sebuah longkang berdekatan kawasan kejadian.

“Manakala dua telefon bimbit jenama Samsung S4 dan CSL Model Blueberry telah dirampas di dalam bilik suspek ditahan,” katanya.

Suspek kini ditahan reman sehingga 24 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.