PAS tunggu jawapan Fong, lepas jawatan atau sebagai ADUN Bebas

0

MIRI: PAS kini sedang menunggu jawapan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Fong Pau Teck sama ada beliau akan melepaskan jawatannya (sebagai wakil rakyat Pujut) atau kekal dan menjadi ADUN Bebas.

Ketua PAS Miri Jofri Jaraiee berkata keputusan Fong penting kerana ia akan menentukan sama ada Miri akan berdepan dengan Pilihan Raya Kecil atau sebaliknya.

“Pakatan Rakyat (PR) termasuk PAS sendiri masih menunggu keputusan Fong, sama ada beliau akan melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat atau terus kekal menjadi ADUN Pujut yang tidak berparti (Bebas),” kata-nya di sini semalam.

Sehingga semalam, Fong masih membisu mengenai tindakan DAP yang memecatnya daripada parti itu serta-merta pada Isnin lalu.

Beliau yang cuba dihubu-ngi sejurus berita tersebut tersebar pada Isnin, enggan memberi sebarang komen malah membalas dalam bentuk sistem pesanan ringkas (SMS) bahawa beliau enggan menjawab sebarang soalan bersifat peribadi.

Menurut Jofri, PR Miri dalam pada itu akan bersiap sedia untuk menerima apa juga keputusan Fong sama ada mahu kekal sebagai wakil rakyat Bebas atau menyertai mana-mana parti pembangkang lain atau komponen Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Jofri yakin Fong tidak akan menyertai BN sebaliknya lebih rela menjadi wakil rakyat Bebas berhaluan pembangkang.

Ditanya jika keputusan DAP memecat Fong menjejaskan perpaduan dalam PR, beliau menafikan perkara itu kerana PAS, PKR dan DAP sentiasa bekerjasama erat, lebih-lebih lagi mereka mempunyai matlamat sama mahu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Mengenai pemecatan Fong pula, Jofri berkata ia adalah masalah dalaman DAP dan dapat diselesaikan di kalangan mereka dalam parti itu.

“Sebagai parti dalam PR, kami hanya bersedia menghadapi apa juga keputusan mereka, jika ia memberi kesan atau melibatkan PR,” katanya.

Sementara itu, jika Fong memilih untuk menjadi wakil rakyat tidak berparti bermakna ada lima wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang tidak berparti ketika ini.

Selain Fong, empat yang lain ialah Datuk Sylvester Entri Muran (ADUN Marudi), Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau).

Walaupun tidak berparti, Entri, Nansian, Rosey dan Paulus adalah wakil rakyat yang berpihak kepada BN dengan menubuhkan Kelab Penyokong BN sebaliknya Fong dijangka kekal sebagai penyokong pembangkang.