DUN tolak usul dikemuka Chong

0

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam menolak usul dikemukakan Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) untuk dibahaskan kerana mendapati ia tidak ada kepastian, bukan perkara segera dan tiada kepentingan umum.

Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar berkata, untuk membolehkan sesuatu usul diterima dan dibahaskan, ia mesti mem-punyai tiga elemen penting tersebut.

“Ahli-Ahli Yang Berhormat di bawah Perintah Tetap 15 untuk membolehkan se-suatu usul diterima dan dibahaskan ia mesti menetapi tiga ciri utama iaitu pertama me-sti pasti, kedua mesti bersifat segera dan ciri ketiga kepentingan umum,” jelasnya.

Beliau berkata bagi membolehkan usul diterima, ia mesti menekankan satu per-kara pokok, bukannya pelbagai isu dalam satu usul se-perti dikemukakan Chong.

Beliau berkata, tindakan Chong yang meminta Dewan membincangkan perkara yang hangat dibincangkan dalam media utama negara iaitu gereja Katolik mengemukakan rayuan berhubung isu penggunaan perkataan ‘Allah’ kepada Mahkamah Persekutuan adalah perkara yang subjudis.

Perkara yang masih dalam proses perbicaraan, ujarnya, tidak boleh dibahaskan dalam persidangan DUN mahupun Parlimen.

“Perintah Tetap (Standing Order) 20(4) menyebut jika Speaker berpendapat sebarang permohonan mengemukakan usul oleh ahli dengan memberi notis kepada setiausaha Dewan atau tanpa notis adalah tindakan yang menyalahgunakan hak untuk mengemukakan soalan.

“Atau hanya bertujuan mengganggu persidangan Dewan atau menimbul rasa tidak senang hati dalam kalangan komuniti pelbagai kaum di Sarawak atau mempersoal perlembagaan negeri Sarawak atau Perlembagaan Persekutuan adalah perbuatan yang boleh dilihat melanggar Akta Hasutan 1948,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu di bawah Perintah Tetap 15 atau 23 mengatakan sebarang usul yang dikemukakan tidak boleh melebihi 250 patah perkataan, bagaimanapun selepas dikira terdapat lebih 368 patah perkataan dalam usul Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu, yakni jumlah yang tidak diamalkan dalam Parlimen.

“Usul yang dikemukakan mengandungi lebih daripada satu perkara, pertama berhubung Perlembagaan Malaysia, hak istimewa dan autonomi Sarawak, pengharaman Kristian menggunakan perkataan ‘Allah,’ peruntukan dana pembangunan yang tidak adil untuk Sarawak, ugutan dari agensi-agensi kerajaan berhubung penggunaan perkataan ‘Allah’ oleh rakyat Sarawak dan isu royalti minyak dan gas.

“Usul ini membangkitkan lebih daripada satu perkara atau isu dan oleh itu ia tidak menepati Perintah Tetap 15 (2). Justeru Dewan menolak usul ini,” tegasnya.

Chong ketika membentangkan usulnya berkata: “Selepas 50 tahun pembentukan Malaysia, UMNO, komponen utama gabungan Barisan Nasional (BN), melupakan prinsip dan semangat Perjanjian Malaysia yang mengiktiraf Sarawak sebagai rakan sama rata dalam Persekutuan dan hak-hak istimewa serta autonomi Sarawak seperti termaktud dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu turut mendakwa UMNO mengabaikan kedudukan sama rata Sarawak dalam Persekutuan dalam bentuk pemberian peruntukan pembangunan tidak adil kepada negeri ini, malah mengharamkan penggunaan perkataan ‘Allah’ oleh orang Kristian.

Perkara tersebut, ujarnya, telah melemahkan hak-hak rakyat Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, sudah tiba masanya untuk Dewan membuat pendirian tegas bagi mengingatkan mereka yang berkuasa di Semenanjung Malaysia tentang status rakan sama rata Sarawak dalam Malaysia dan autonomi serta hak-hak istimewa Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Negeri.

“Oleh itu, adalah perlu untuk memutuskan bahawa status rakan sama rata Sarawak dalam Persekutuan Malaysia tidak boleh diketepikan.

“Kedua, Jawatankuasa Pilihan Khas terdiri daripada wakil BN dan pembangkang ditubuhkan bagi mempertimbangkan terma-terma Perjanjian Malaysia dan menyesorkan langkah-langkah untuk mengekalkan semua hask istimewa Sarawak.

“Ketiga, hak kebebasan beragama rakyat Sarawak tidak boleh diketepikan atau dilemahkan termasuk hak orang Kristian Sarawak menggunakan perkataan ‘Allah’ di semua negeri di Malaysia dan keempat permintaan harus dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan agar meningkatkan kadar bayaran royalti minyak dan gas untuk Sarawak kepada 20 peratus,” katanya.