Hina Sultan Perak, lelaki didenda RM15,000

0

Rutinin (tengah) mendengar penjelasan Muammar semasa berada di luar kamar mahkamah.

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini kelmarin mengenakan hukuman denda sebanyak RM15,000 atau penjara lapan bulan, terhadap seorang lelaki tempatan atas kesalahan menghina Sultan Perak, empat tahun lalu.

Hakim Ummu Khaltom Abd Samad membuat keputusan itu terhadap Rutinin Suhaimin, 40, yang mana kelmarin adalah untuk menyampaikan hukuman.

Ummu dalam penghakimannya berkata selepas mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan itu beliau mengambil kira pelbagai faktor yang relevan dalam memutuskan hukuman.

Menurutnya sebelum menjatuhkan hukuman beliau mengambil kira mengenai kepentingan awam secara prinsipal dalam membuat keputusan sambil menseimbangkan kepentingan tertuduh.

Katanya kejadian berkenaan berlaku pada 2009 selepas pilihan raya umum dan kesalahan berkenaan adalah serius yang mana menghina Sultan Perak.

Oleh itu, beliau berpendapat tertuduh tidak boleh hanya dikenakan bon berkelakuan baik seperti yang dicadangkan oleh pihak pembelaan, kerana ianya akan menyampaikan mesej yang salah kepada masyarakat.

“Kita tidak ingin menyampaikan mesej yang salah kepada masyarakat.Mahkamah juga mempertimbangkan bagaimana cara kesalahan itu dilakukan,” katanya dan menambah, hukuman setimpal harus dikenakan bagi mencegah orang ramai mengulangi kesalahan sama.

Rutinin didapati bersalah menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet Protokol 60.52.46.189 secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang bersifat jelik di http://books.dreambook.com.duli/duli.html.

Penghantaran komen terbabit mempunyai pautan kepada laman web pejabat DYMM Sultan Perak, iaitu ww.sultan.perak.gov.my dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 Februari 2009 jam 6.33 petang di alamat Blok A, Lot 4 Kedai Sedco, Kundasang, Ranau.

Atas pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 12 Julai 2010, tertuduh telah dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan berkenaan tanpa dipanggil membela diri, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Namun, pada 22 November tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Ravinthran N Paramaguru mengetepikan pembebasan Rutinin selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang menentang keputusan mahkamah rendah, dan mengarahkan Rutinin dibicarakan semula di mahkakmah rendah.

Peguam Muammar Julkarnain mewakili tertuduh, manakala Peguam Kanan Persekutuan Jamil Arifin mewakili pihak pendakwaan.