Lima lelaki didakwa edar dadah

0

Semua tertuduh keluar dari kamar Mahkamah Majistret selepas prosiding.

KOTA KINABALU: Lima lelaki tempatan berhadapan dengan hukuman gantung mandatori apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini kelmarin atas pertuduhan mengedar dadah seberat 2,035.73 gram.

Penolong Pendaftar Mahkamah Dzul Elmy Yunus menetapkan pada 23 Januari tahun hadapan sebagai sebutan semula kes terhadap Vun Kon Fui, 34, Wah Kah Hee, 28, Chia Tet Vun, 41, Ooi Then Leong, 33, dan Vun Su Khiong, 34.

Mereka didakwa secara bersama ada dalam kawalan dadah jenis Metamphetamine seberat 2,035.73 gram, pada 6 November tahun ini jam 3 petang di bengkel kereta Lot 16, Lorong Mangga 1, BDC Industrial Estate, Jalan Kolombong, Inanam.

Sementara itu, Vun Kon Fui dan Wah Kah Hee turut didakwa berada dalam kawalan mereka Metamphetamine seberat 1,875.70 gram, pada hari dan di tempat yang sama.

Manakala Vun Kon Fui sekali lagi didakwa telah ada dalam kawalannya Metamphetamine seberat 51.50 gram.

Atas setiap pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan, sekiranya disabitkan bersalah mereka boleh dijatuhkan hukuman gantung mandatori.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada setiap tertuduh yang mana kini diperintahkan direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Wah Kah Hee diwakili peguam Chin Tek Ming, manakal peguam PJ Perira mewakili tertuduh yang lain.

Pendakwaan itu dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Cif Insp Lim Swee Beng.