Penjara 30 bulan, empat sebatan kerana serang dan cederakan polis

0

LAHAD DATU: Mahkamah Majistret di sini kelmarin menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan empat sebatan ke atas seorang lelaki warga asing yang menyerang dan mencederakan seorang anggota polis ketika sedang bertugas.

Hakim M. Rajalingam menjatuhkan hukuman itu ke atas Annan Annamy, 45, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa menyerang seorang anggota polis yang sedang bertugas menggunakan sebilah gunting sehingga mencederakan mangsa di bahagian tangan kanan di Kampung Puyut, dekat sini, kira-kira jam 11.35 petang pada 29 Jun tahun ini.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang keluar dari rumahnya kerana hendak bertemu dengan anaknya ditahan polis dalam Ops Tapis setelah disyaki terlibat dalam kegiatan dadah.

Ketika ditahan tertuduh bertindak agresif terhadap anggota polis dengan menyerang menggunakan sebilah gunting hingga mangsa cedera di bahagian tangan kanan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman mulai tarikh ditangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman.

Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor Soffi Abdul Jalal.