OP Noda: ‘Rahsia’ tukang urut tawar khidmat seks terbongkar

0

TAWAU: Sembilan wanita warga asing yang berselindung di sebalik pekerjaan sebagai tukang urut ditahan di sebuah premis di Jalan Kuhara, Sabtu lepas kerana disyaki turut memberikan khidmat seks kepada pelanggan mereka.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah, siasatan awal mendapati kesemua wanita terbabit berusia 22 hingga 39 tahun dan mempunyai permit kerja namun menyalahgunakannya dengan bekerja di tempat lain.

“Siasatan menunjukkan kesemua wanita warga asing yang diberkas di dalam operasi ini bukan hanya menawarkan khidmat sebagai tukang urut tetapi mereka juga disyaki menjalankan kegiatan pelacuran di premis berkenaan,” katanya.

Awang berkata lapan daripada sembilan tukang urut wanita warga asing yang diberkas di dalam serbuan Op Noda yang dijalankan kira-kira jam 9.30 malam itu adalah rakyat China sementara seorang lagi warga Thailand.

Beliau mendedahkan pihak polis turut menahan enam lelaki yang berumur 23 hingga 54 tahun semasa sedang ‘leka’ bersama ‘pasangan’ tukang urut wanita warga asing masing-masing di dalam bilik khas ketika serbuan itu dilakukan.

“Kita juga ada menahan tiga suspek warga tempatan melibatkan seorang lelaki yang dipercayai menjadi penjaga premis dan dua wanita yang bekerja sebagai juruwang serta berusia 17 hingga 27 tahun,” katanya.

Beliau berkata kesemua barang rampasan dan suspek yang diberkas dibawa ke IPD Tawau, manakala pengusaha premis pula akan didakwa kerana menjalankan operasi tanpa lesen dan kes terbabit juga akan dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya lagi pihak polis membuka siasatan ke atas kesemua tukang urut wanita warga asing terbabit mengikut Seksyen 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana penyalahgunaan permit kerja.

“Siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan atas kesalahan mencari pelanggan untuk tujuan pelacuran,” katanya sambil menegaskan pihak polis akan menggiatkan operasi sama dari masa ke semasa.