Pistol jenis Revolver berserta tujuh peluru ditemui dalam pacuan empat roda

0

HAMZA (tengah) menunjukkan pistol yang dirampas polis dalam sekatan jalan raya berkenaan sambil diperhatikan oleh Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra (dua kiri).

KOTA KINABALU: Lima sekawan terpaksa menanggung padah setelah ditahan polis berikutan penemuan sepucuk pistol jenis Revolver berserta tujuh peluru di dalam bonet pacuan empat roda dinaiki mereka pada satu sekatan jalan raya di Taman Hiltop, Luyang malam semalam.

Dalam kejadian pada jam 6 pagi itu, kelima-lima lelaki terbabit dengan tiga daripadanya adalah warga asing yang berusia 16 hingga 45 tahun itu dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke taman perumahan itu dari pusat bandar.

Ekoran curiga akan kenderaan yang dinaiki oleh suspek, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang bertugas telah bertindak menahan pacuan empat roda terbabit.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya menemui sepucuk pistol jenis Revolver di dalam beg sandang berwarna hitam yang diletakkan di bahagian bonet kenderaan itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata kelima-lima suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut.

“Hasil sekatan jalan raya bersempena Ops Cantas kelmarin, kita berjaya menemui sepucuk pistol Revolver dipercayai dimiliki oleh suspek yang ditahan.

“Namun polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca serta bagaimana pistol berkenaan diperolehi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan kelmarin.

Menurut beliau kesemua suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.