Buruh dipenjara 16 tahun sebabkan kematian rakan

0

TAWAU: Seorang buruh warga Indonesia dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam  selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian rakan sekerjanya dua tahun lepas.

Hakim P.Ravinthran memerintahkan Jon Tindan, 37, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Jun 2011.

Dia didakwa menyebabkan kematian Masjudi Baba di sebuah rumah kongsi Gunung Rara 2, Ladang Srijaya Industri Sdn Bhd, Jalan Kalabakan kira-kira jam 9.30 malam 12 Jun 2011.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Masjudi dikatakan menampar Jon sebanyak tiga kali selepas berlakunya pertengkaran mulut antara mereka.

Sebelum kejadian, tertuduh dikatakan menonton televisyen bersama mangsa dan tiga lagi rakan mereka di dalam bilik rumah kongsi itu. — Bernama