Dua kanak-kanak rayu simpati kesan keluarga, waris

0

LAHAD DATU: Sepasang kanak-kanak malang berusia lima bulan dan 11 tahun meraih simpati orang ramai untuk mengesan keluarga atau waris mereka meskipun kini diletakkan dalam jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut keterangan kes JKM di sini kelmarin, dua kanak-kanak itu ialah Mohd Azahar Abdullah, 5 bulan, dan Siba Miguel, 11, diletakkan dalam jagaan sementara JKM setelah kes mereka mendapat perintah mahkamah mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 (Perintah Jagaan Sementara).

Bayi lelaki, Mohd Azahar, yang ketika ditemui seberat 1.6 kilogram dan masih bertali pusat disedari orang awam pada 18 Jun 2013 jam 8.20 pagi di tangga kuarters sebuah restoran di Fajar, di sini.

Manakala kanak-kanak perempuan, Siba Miguel ketika ditemui 1 September 2013 di sebuah restoran di Jalan Tengah Nipah dengan beberapa kesan lebam di bahagian muka, pergelangan tangan dan kaki disyaki didera oleh pakciknya yang merupakan penjaga kepadanya.

Dia disedari orang awam setelah didapati berseorangan dan mundar-mandir di kawasan sebuah restoran dari pagi hingga ke petang seolah-olah menunggu kehadiran seseorang.

Kes Mohd Azahar dan Siba diklasifikasikan sebagai kes buang bayi dan memerlukan pemeliharaan dan perlindungan sebagaimana pengertiannya mengikut Subseksyen 17(1)(e) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mereka kini ditempatkan di Rumah Kanajk-Kanak Kota Kinabalu, Kampung Beringgis, Papar sementara mengesan keluarga dan penyediaan Laporan Lengkap Perlindungan untuk permohonan Perintah Tetap Mahkamah akan datang.

Keluarga atau waris serta orang awam yang mempunyai maklumat kanak-kanak terbabit boleh menghubungi JKM di alamat Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Daerah Lahad Datu atau menghubungi 089881044.