Kanak-kanak maut dilanggar lari

0

PENAMPANG: Seorang kanak-kanak lelaki warga asing maut setelah dilanggar lari sebuah kenderaan dalam satu kejadian di Jalan Pintas, berhampiran bangunan Grand Millenium, Penampang Baru di sini malam kelmarin.

Dalam insiden berlaku sekitar jam 12 tengah malam itu, mangsa yang berusia lapan tahun meninggal dunia serta merta di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di tubuh badan.

Sebelum kejadian terjadi, mangsa dikatakan sedang melintas jalan dari kawasan bangunan Grand Millenium menuju ke laluan bersebelahan.

Bagaimanapun setibanya di lokasi itu, muncul sebuah kenderaan yang menuju ke Penampang dari pusat bandar dan akibat jarak terlalu dekat, dipercayai pemandu kenderaan itu gagal mengelak sebelum merempuh mangsa yang berada di tengah laluan berkenaan.

Mangsa turut difahamkan tercampak beberapa meter sebelum terbaring di atas jalan raya dan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala serta badannya selepas dirempuh.

Pemandu yang melanggar mangsa difahamkan melarikan diri sebaik insiden itu dan mengakibatkan jenis serta nombor plat pendaftaran kenderaannya gagal dicam oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya mangsa yang tidak mempunyai sebarang dokumen itu telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kita turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden langgar lari ini untuk tampil segera atau menghubungi 088-712222 untuk membantu siasatan,” katanya.