Cubaan seludup barangan terkawal tumpas

0

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan penyeludup membawa keluar barangan terkawal bernilai anggaran RM70,000 dalam operasi yang dijalankan di perairan Tanjung Batu, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, sepasukan empat anggota PPM menggunakan Bot De-Coy yang bertindak dalam Op Cantas Khas Laut menahan sebuah bot jongkong mencurigakan yang sedang dalam perjalanan menuju ke Nunukan, Indonesia.

Hasil pemeriksaan terhadap bot terbabit berjaya menemui sebanyak 34 kotak daging beku, 85 paket sosej ayam, 275 kilogram daging ayam, 40 kilogram hati ayam, 20 kilogram bedal ayam, 48 kilogram tulang lembu, 60 kilogram daging itik, 170 paket minyak masak, 192 paket nugget dan 50 kilogram kaki ayam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohammad Madun berkata apabila diperiksa, juragan bot berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen pelepasan cukai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk membawa keluar semua barangan itu.

Katanya semua barangan terbabit dipercayai cuba diseludup untuk pasaran negara jiran dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM66,575 berdasarkan kepada harga pasaran semasa termasuk bot serta enjin.

“Semua barangan terbabit dirampas dan bot jongkong serta anak kapal diiringi anggota PPM ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan laporan polis.

“Turut ditahan tiga individu di atas bot berkenaan berusia 23 hingga 47 tahun dan berasal daripada Indonesia serta menggunakan pas lintas batas yang sah,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Menurutnya semua daging beku terbabit yang dirampas akan diserahkan kepada JKDM untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam.

Sementara itu dalam satu lagi kes berasingan, PPM daerah ini berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 550 bungkus rokok pelbagai jenama ke daerah ini.

Menurut Mohammad, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota PPM yang sedang menjalankan operasi Op Landai melakukan pemeriksaan di kawasan persisiran Batu-Batu pada jam kira-kira jam 6.30 petang.

Katanya hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua bungkusan plastik hitam yang diletakkan di kawasan terbabit tanpa pengawasan daripada mana-mana pihak.

“Hasil pemeriksaan terhadap bungkusan terbabit membawa kepada penemuan rokok pelbagai jenis yang dipercayai dibawa masuk daripada negara jiran untuk pasaran tempatan.

“Semua rokok yang rampas dianggarkan bernilai RM10,209.78 berdasarkan harga pasaran termasuk cukai dan kes disiasat mengikut Akta Kastam,” katanya.

Pihaknya masih menjalankan siasatan dan semua rokok yang dirampas akan diserahkan kepada JKDM untuk tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu, Mohammad menyarankan kepada orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan haram supaya menyalurkan maklumat kepada pihaknya dalam usaha untuk membanteras kegiatan ini daripada berleluasa.

Katanya pihaknya akan mempertingkatkan kawalan dan pemeriksaan terhadap semua pengangkutan laut untuk memastikan tiada kebocoran barangan subsidi negara ke negara jiran.

“Kita akan mempergiatkan pemeriksaan terutamanya apabila musim perayaan yang akan bakal tiba tidak lama lagi disebabkan peningkatan permintaan terhadap barangan terbabit,” katanya.