Penghuni kondo mahu dinding retak dan parkir banjir dibaiki segera

0

KOTA KINABALU: Selain dinding jendela yang sering dimasuki air, seorang penghuni kediaman kondo di Menggatal di sini turut menghadapi masalah banjir di kawasan parkir rumahnya.

Pemilik rumah berkenaan, Zuriati Hussin berkata walaupun sudah dibaiki, namun air masih mengalir masuk hingga menyebabkan dinding rumahnya lembab.

Atas kesulitan terbabit, beliau menuntut kepada pihak pemaju agar segera menyelesaikan masalah terbabit melalui Mahkamah Tribunal Tuntutan Pembeli Perumahan (TTPP).

Menurutnya sistem perparitan yang tidak sesuai juga mengakibatkan air mudah bertakung di kawasan parkir apabila hujan lebat.

“Keadaan itu menyebabkan kereta saya hampir dimasuki air dan terpaksa memindahkannya ke kawasan parkir yang lebih selamat,” katanya ketika membuat keterangan di TTPP di sini kelmarin.

Sehubungan itu, Presiden TTPP, Datuk Ahmad Sedik mengarahkan supaya pihak pemaju segera mengambil tindakan dan membaiki setiap kerosakan yang dihadapi pengadu.

Ahmad turut meminta agar pengadu dan pihak pemaju bersama-sama membuat tinjauan pada 28 November (hari ini) berkaitan kerosakan yang dituntut.

Selain itu, Zuriaiti juga terpaksa membaiki sendiri dinding di bahagian belakang peti sejuknya kerana retak dan sering ditembusi air terutamanya ketika hujan lebat.

Walaupun sudah dibaiki, Ahmad tetap mengarahkan agar pemaju memberi perhatian kepada kerosakan terbabit agar ia tidak berulang.

Katanya sesuatu kerosakan itu perlu dibaiki secara menyeluruh dan bukannya dijalankan secara sambil lewa.

“Ini kerana, kerosakan yang dibaiki hanya ‘separuh jalan’ akan mengambil masa yang lama untuk siap sepenuhnya,” katanya.