Kesahihan ahli 100 keluar PKR diragui: Baru

0

KUCHING: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian meragui kesahihan keahlian lebih 100 orang yang bertindak keluar dari parti itu dan menyertai Parti Tindakan Demokratik Sarawak (SPDP).

Beliau memberitahu, kesemua mereka terbabit tidak menunjukkan dan menyatakan kad atau nombor keahlian PKR masing-masing dan sekadar mendakwa mereka adalah ahli parti.

“Saya telah membaca surat khabar hari ini (semalam) dan dimaklumkan oleh Yang Berhormat Ali Biju (Ahli Dewan Undangan Negeri Krian) yang mengatakan mereka ini tidak dipastikan sama ada betul-betul ahli parti atau hanya penyokong sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.

Baru menambah, tindakan itu tidak akan mematahkan dan melumpuhkan jentera PKR di Sarawak khasnya di kawasan terbabit dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri yang akan datang.

“Saya berpendapat masih ramai orang faham tentang perjuangan kita dan bagi saya ia baik untuk parti kerana orang yang tidak berprinsip telah keluar dari parti.

Itu lebih bagus untuk PKR.

“Kita hanya percaya sekiranya mereka keluarkan kad PKR atau nombor keahlian mereka baharulah kita percaya bahawa mereka ini adalah ahli PKR,” tambahnya.

Malah, beliau menyifatkan mereka terbabit tidak setia dan mempunyai agenda berkepentingan peribadi.

“Kalau kita tengok maklum balas dari Internet mengenai berita ini nampaknya ramai yang tidak bersetuju (dengan tindakan mereka) dan ada yang mengutuk mereka ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ali berkata, hanya Gani Eli sahaja ahli PKR dan beliau adalah Ketua Ranting Roban Melayu bukanlah Ketua Cawangan Roban, manakala individu lain tidak diketahui sama ada mereka ahli parti atau tidak.

“Saya dimaklumkan bahawa mereka ini adalah penyokong kepada calon parti Bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri yang lalu di kawasan tersebut.

“Ini sudah menjadi lumrah dalam parti politik ada yang keluar dan ada yang masuk kerana kita mengamalkan sistem demokrasi, namun ia tidak menjejaskan kekuatan PKR di kawasan Krian khasnya,” katanya.

Kelmarin, bekas pengerusi PKR Roban Melayu, Saratok Gani Eli bersama setiausaha dan 108 orang ahlinya bertindak keluar parti dan mengemukakan permohonan untuk menyertai Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang diterima oleh Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom.

Turut kecewa dengan pucuk pimpinan PKR, bekas setiausahanya Abang Mokhtar Abang Zulkifli berkata beliau sedar parti pembangkang tidak berupaya mengubah nasib rakyat.